PUTRAJAYA, 28 Disember 2019 – Atas permintaan luar biasa dari ‘Ejen-ejen Indonesia’, Primeworks Studios dan WAU Animation mengumumkan filem EJEN ALI THE MOVIE bakal ditayangkan di pawagam terpilih Indonesia CGV, Flix, Platinum, Kota Cinema dan pawagam Cinépolis bermula 1 Januari 2020. Pengumuman tersebut dibuat sewaktu Majlis Pelancaran Media dan Tayangan Perdana filem EJEN ALI THE MOVIE yang telah berlangsung pada 26 Disember 2019 di CGV, Grand Indonesia Mall. Majlis ini turut dimeriahkan lagi dengan kehadiran peminat Ejen Ali yang terpilih, rakan media, rakan kerjasama serta personaliti popular tempatan.
Sebagai tanda penghargaan buat peminat-peminat di Malaysia pula, MISI : FANS TRIBUTE diadakan bagi meraikan hasil kutipan filem yang telah berjaya mencapai RM28 juta dalam masa 28 hari. Sejak filem EJEN ALI THE MOVIE mula ditayangkan di pawagam, maskot Ejen Ali dan Ejen Alicia muncul sebagai penampilan khas dalam beberapa siri jelajah filem di lokasi-lokasi yang terpilih sebelum ini. Namun untuk MISI : FANS TRIBUTE yang berlangsung di Pusat membeli-belah Alamanda, Putrajaya hari ini, maskot kucing kesayangan Ejen Ali yang bernama Comot hadir mengamatkan suasana khas untuk adik-adik, sempena cuti sekolah ini. Sesi ramah mesra ini turut dihadiri oleh Ida Rahayu Yusoff dan Nabilah Rais, yang juga merupakan pelakon suara latar bagi watak Ejen Ali dan Niki di dalam filem EJEN ALI THE MOVIE serta
komposer berbakat dari WAU Animation yang telah bekerjasama dalam menghasilkan runut bunyi dan skor muzik filem iaitu Azri Yunus dan Hakim Kamal.
MISI : FANS TRIBUTE bertambah hangat dengan pelancaran komik terbaru EJEN ALI THE MOVIE dan lagu runut bunyi (OST) yang dirasmikan oleh Ida Rahayu, Nabilah Rais, Azri Yunus serta Hakim Kamal. Komik edisi khas filem EJEN ALI THE MOVIE menghimpunkan babak-babak di sebalik tabir filem serta pengembaraan Ali yang diadaptasi dari filem dan diterbitkan ke dalam bentuk penulisan. Dijual dengan harga RM21.90 (Semenanjung Malaysia) dan RM22.90 (Sabah & Sarawak), komik ini boleh didapati di semua kedai buku tempatan dan kedai serbaneka mulai Januari 2020. Selain dari itu, komik EJEN ALI THE MOVIE juga boleh didapati di kedai OURSHOP yang terletak berhadapan dengan H&M Lot 10, Kuala Lumpur pada 31 Disember 2019. Barangan eksklusif filem yang lain turut dijual di OURSHOP dan bukan itu sahaja, peminat Ejen Ali juga berpeluang untuk membeli barangan Ejen Ali menerusi AirAsia WiFi. AirAsia WiFi merupakan platform beli-belah dalam talian Air Asia yang menawarkan pelbagai pilihan produk tempatan dari seluruh dunia. Kerjasama di antara Air Asia dan Ejen Ali bukan sahaja dapat membantu mempromosikan produk-produk tempatan bahkan ianya juga dapat membawa kisah Ejen Ali ke pentas global.
Setelah menerima pelbagai respon positif dari pengkritik filem dan peminat di laman media sosial, album runut bunyi original filem (Original Motion Picture Soundtrack) telah dimuatnaik di laman YouTube pada 27 Disember 2019 bersama single ke empat filem yang berjudul, Mama (Di Hatimu). Album runut bunyi tersebut menampilkan 25 trak original yang digubah oleh komposer Azri Yunus and Hakim Kamal. Lagu Mama (Di Hatimu) berkisarkan tentang kasih dan sayang seorang ibu kepada anaknya. Lagu ini dinyanyikan oleh Ida Rahayu Yusoff yang juga merupakan pelakon suara latar bagi watak Ejen Ali. Lagu yang mendapat permintaan ramai ini telah dikeluarkan pada hari Jumaat, 20 Disember 2019 di laman YouTube dan berjaya mencatat lebih dari 800,000 jumlah tontonan sehingga ke hari ini. Album runut bunyi original filem boleh distrim di Apple Music dan bakal dikeluarkan pada bulan Januari 2020 di pelantar digital lain.
Ida Rahayu berkata, “Sepanjang pengalaman saya sebagai seorang pelakon suara, saya tidak pernah terfikir yang saya akan menyanyikan lagu untuk runut bunyi filem. Sebagai seorang ibu, saya dapat merasakan emosi yang amat mendalam ketika babak di antara Ali dan ibunya. Emosi itulah yang saya bawa sewaktu menyanyikan lagu Mama (Di Hatimu). Saya rasa amat terharu dengan sambutan menggalakkan yang diterima dari peminat, mereka memberi maklum balas positif di laman media sosial dan memberitahu saya yang mereka amat menyukai lagu tersebut. Terima kasih di atas sokongan anda!
Azri Yunus menambah, “Dari maklum balas peminat yang saya terima setakat ini, saya rasa gembira apabila mendapat tahu lagu dan skor muzik filem hasil ciptaan saya dan Hakim seperti lagu Bukalah Matamu, Mamak Maju dan Mama (Di Hatimu) berjaya menonjolkan emosi, babak suspen, dan adegan penuh aksi sepertimana yang dikehendaki oleh pengarah kami, Usamah Zaid Yasin. Dengan bimbingan Usamah, kami berjaya mencipta karya ini dan kami berharap agar apabila peminat-peminat mendengar album runut bunyi, lagu-lagu ini dapat membawa mereka kembali merasai momen magis sewaktu menonton filem EJEN ALI THE MOVIE di pawagam.
EJEN ALI THE MOVIE, yang dikuasakan oleh Tenaga Nasional Berhad dengan kerjasama Mydin dan PediaSure, kini berada di 125 lokasi pawagam di Malaysia. Ia mengisahkan tentang Ali, budak berusia 12 tahun yang telah direkrut menjadi perisik bagi sebuah agensi perisikan, dikenali sebagai Meta Advance Tactical Agency (MATA) yang berperanan untuk melindungi kota futuristik Cyberaya daripada ancaman luar. Konflik mula timbul apabila Ali mendapat tahu bahawa dia bukanlah satu-satunya ejen yang boleh mengawal gajet istimewa (IRIS – Infinity Retinal Intelligence System). Gajet tersebut telah diubahsuai menjadi IRIS Neo, gajet yang boleh dikawal serta digunakan oleh ejen-ejen lain. Inovasi baru ini dipersoalkan oleh Ali apabila dia merasa terpinggir dan kedudukannya sebagai ejen istimewa MATA tergugat. Pada saat itu, dia didatangi oleh individu misteri yang mendakwa mengetahui akan kisah silamnya. Maka bermulalah pengembaraan baharu Ejen Ali demi membongkar kebenaran walaupun kesetiaannya terhadap MATA bakal teruji.
Untuk maklumat lanjut mengenai EJEN ALI THE MOVIE, sila layari:
- YouTube: youtube.com/ejenali
- Facebook: facebook.com/ejenali
- Instagram: instagram.com/ejen_ali
- Twitter: twitter.com/ejen_ali
#EjenAliTheMovie #EjenAli #AniMY
###