KUALA LUMPUR: Selepas melakar kejayaan luar biasa dengan kehadiran lebih 12,000 peminat membanjiri konsert Here I Am di Indonesia Arena, Jakarta, penyanyi tersohor Indonesia, Datuk Seri Rossa kini bersedia membawa keajaiban yang sama di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 14 Jun ini.
Konsert mega ini bukan sekadar memahat keampuhan Rossa sebagai penghibur, malah ia juga simbolik penghormatan istimewa buat peminat setianya di Malaysia, negara kedua yang menjadi saksi perjalanan muziknya selama hampir tiga dekad.
“Malaysia sentiasa mempunyai tempat yang istimewa dalam hidup dan kerjaya saya. Di negara ini, kerjaya nyanyian saya mekar dan berkembang sehingga nama Rossa dikenali pencinta muzik serantau.
“Here I Am bukan sekadar sebuah konsert, sebaliknya ia juga hadiah dan perayaan cinta saya kepada peminat di negara ini yang selama ini begitu teguh menyokong perjalanan seni saya,” kata Rossa.
Terdahulu, pada konsert sold out berdurasi lebih dua jam yang berlangsung pada 23 Mei lalu, Rossa membawakan lebih 25 lagu ikonik sepanjang karier gemilangnya antaranya Tegar, Hati Yang Kau Sakiti, Terlalu Cinta, Pudar dan Aku Bukan Untukmu.
Setelah mencetus fenomena luar biasa di negara kelahiran, Rossa kini bersedia meneruskan perjalanan magis itu di Axiata Arena pula, ditemani dua lagi bintang tamu istimewa iaitu Hael Husaini dan The Ladies yang dibarisi bintang Indonesian Idol – Rimar, Jemimah, Awdella dan Syarla sebagai pelengkap malam yang menjanjikan momen tidak terlupakan kepada Pecinta Rossa.
“Saya sangat menghormati dan mengagumi bakat luar biasa Hael yang memberikan ‘jiwa’dalam setiap lagu yang disampaikannya. Setiap bait yang dinyanyikan Hael punya ‘rasa’ dan itu perkara utama yang saya cari dalam kolaborasi. Saya sudah tidak sabar membawakan sesuatu yang benar-benar eksklusif bersama Hael khusus buat penonton di Malaysia.
“Sementara itu, The Ladies pula bukan sekadar gabungan vokal, sebaliknya turut merangkumkan cerita, kekuatan dan cinta terhadap muzik apabila kami bersatu. Kehadiran mereka dalam konsert ini sebagai simbol kekuatan wanita Nusantara dan saya percaya, penonton di KL juga akan dapat merasai betapa indahnya apabila wanita saling menyokong antara satu sama lain,” katanya.
Konsert Here I Am di Kuala Lumpur menjadi lebih bermakna dengan kemunculan barisan sahabat dan rakan seni yang begitu dekat di hatinya antaranya Ariel Noah, sosok legenda yang akan berkongsi pentas menerusi duet penuh makna, selain bergandingan dengan penyanyi hebat, Ernie Zakri.
Kemunculan MK K-Clique pula bakal menyuntik tenaga muda dan dinamik, memperlihatkan sisi segar dalam perjalanan muzik Rossa yang sentiasa berevolusi. Tidak ketinggalan, Dipha Barus, DJ dan produser muzik yang akan memberi sentuhan berbeza dan penuh kejutan.
Sebagai penghargaan terhadap bakat baharu tempatan, Rossa juga menampilkan Top 4 One In A Million iaitu Marygrace, Kai Deva, Jimi dan Zazzleen dalam persembahan istimewa yang membuktikan muzik menyatukan anak seni berbeza generasi.
Dengan gabungan suara, cerita dan persahabatan, konsert Here I Am bakal melakar kenangan sebagai malam yang akan menyentuh jiwa serta menyatukan pencinta seni menerusi pilihan lagu yang menjadi jambatan kenangan antara Rossa dan penggemarnya.
Konsert Here I Am dianjurkan oleh Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN) dan Inspire Production dengan kerjasama promosi dan pemasaran dari Sah Entertainment.
Harga tiket bermula dari RM228 untuk kategori Festival hingga RM788 bagi kategori Diamond Center tidak termasuk cukai dan yuran pentadbiran boleh diperoleh menerusi platform:www.ticket2u.com.my. Untuk tiket korporat, boleh berhubung dengan Puan Cik Rohaiza di talian 019-288 9764 atau e-mel: rossa@yayasanprihatin.com.

