(HIBURAN) Sidang Media CZ12 bersama Jackie Chan

Spread the love

“ Jackie Chan “ satu trademark yang cukup sinonim dalam industri perfileman antarabangsa terutamanya peminat-peminat filem aksi. Kelompok peminat beliau terdiri bukan sahaja di kalangan orang dewasa, malah peminatnya juga dalam kalangan remaja serta kanak-kanak. Beliau melibatkan diri pada 1959 dalam bidang seni, superstar Hong Kong ini sebenarnya telah memulakan kariernya dalam bidang lakonan sejak berusia 5 tahun lagi. Lagenda aksi dan pakar tempur ini telah muncul menerusi pelbagai drama dan filem dalam usia semuda itu, antaranya Little Fortunes dan Big And Little Wong Tin Bar.

Kemudian dia semakin mendapat perhatian pengarah di sana dan tampil menerusi pelbagai filem seperti The Love Eterne, King Hu’s dan Come Drink With Me selain filem Kung Fu, A Touch Of Zen. Pada usia 17 tahun, bintang filem The Tuxedo ini melangkah jauh dengan bergelar pelakon lagak ngeri berdampingan mendiang Bruce Lee, menerusi filem Fist of Fury dan Enter The Dragon. Kemudian baru bakatnya berjaya dikesan sehingga ditawarkan untuk membintangi filem pertamanya yang berjudul, Little Tiger Of Canton. Filem ini merupakan sebuah filem seni mempertahankan diri yang mana memerlukan Chan memainkan peranan sebagai Ah Lung yang dalam misi membalas dendam terhadap pembunuh ayahnya. Dia akhirnya berjaya membuka mata banyak pihak dalam industri seni Hong Kong menerusi lakonan mantap dan bertenaga sebagai Ah Lung. Dalam pada itu antara filem yang berjaya menaikkan namanya adalah Police Story, Drunken Master, Heart Of The Dragon dan Rumble In The Bronx.

Semasa sidang media, Jackie Chan berkongsi cerita mengenai filem terbaru beliau ini. Beliau menjelaskan “selepas tujuh tahun menulis skrip dan setahun setengah melakukan penggambaran ia berjaya disiapkan dan kini tunggu masa untuk ditayangkan pula,” katanya yang juga penulis skrip, pengarah dan penerbit bagi filem itu. Ditanya tentang kenyataan beliau mengenai khabar angin bahawa ini merupakan filem aksi terakhir beliau, Jackie Chan menegaskan bahawa itu cuma salah lapor media sahaja, beliau mempunyai beberapa projek akan datang antaranya “The Expendables 3”. Walaubagaimanpun ia masih diperingkat perbincangan memandangkan Sylvester Stallone pernah menawarkan watak kepada Jackie Chan semasa “The Expendables 2” dan beliau terpaksa menolaknya akibat komitmen beliau terhadap filem CZ12.  Beliau juga berharap Sylvester Stallone memberikan beliau lebih banyak peluang dan babak dalam filem terbaru itu berbanding 2-3 babak semasa filem “The Expendables “. Bercakap mengenai projek filem terbaru beliau, Jackie menjelaskan, beliau mempunyai beberapa projek ditangan antaranya filem berjudul “skip tracer” yang masih dalam proses perbincangan dan berkemungkinan besar mengandingkan beliau kembali dengan rakan-rakan Amerika Syarikat beliau iaitu Chris Tucker ataupun Owen Wilson.

Jackie Chan juga memberitahu pihak media mengenai projek filem trade mark beliau iaitu “ Police Story “, beliau menambah, akan ada “Police Story 2013” tetapi tidak menjelaskan secara terperinci siapa yang akan berlakon serta pengarah untuk filem ini. Menjawab persoalan mengenai kemungkinan beliau terjun ke bidang teater, Jackie Chan dengan senyum ketawa mengiyakan tentang projek tersebut. Beliau menamakan projek tersebut sebagai ‎”I Am Jackie Chan!!!” menjelaskan, ia merupakan projek 5 tahun akan datang dimana pementasan ini merupakan melodi muzikal mengenai kisah kehidupan Jackie Chan dari kecil sehingga dewasa, bagaimana beliau mengenali dan berjumpa dengan Bruce Lee, juga mengenai permulaan beliau menembusi pasaran Amerika Syarikat. Ia bakal dialih bahasa mengikut negara yang dipentaskan dan berkemungkinan besar beliau tidak akan membintangi pementasan ini. Jackie menambah, kemungkinan beliau akan menyanyi, dan rakaman nyanyian ini bakal dipersembahkan semasa pementasan. Kisah pementasan akan merangkumi tiga peringkat umur Jackie Chan dari umur kanak-kanak, remaja sehingga dewasa.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *