(HIBURAN) ‘Sindiket’ filem ke-11 taruhan Bade

Spread the love

DSCF0312

Kuala Lumpur, 30 Mei 2013:  ‘Sindiket’, filem ke-11 taruhan sutradara, Bade Haji Azmi, bakal membawa penonton dan penggemar filem tempatan menyelami kehidupan gelap dinamakan ‘Human Trafficking’ atau ‘Pemerdagangan Manusia’ yang berlaku setiap detik dan masa di sekeliling kita namun pergerakannya sukar dihidu.

Diterbitkan sebuah syarikat produksi baru, Loyal Studios Sdn Bhd, idea menghasilkan filem bergenre aksi ini tercetus sejak tujuh tahun lalu, semasa Bade terbabit dalam penggambaran filem, Maut.

DSCF0310

Menurut Bade, yang sebelum ini pernah mengarahkan filem Shakila, KL Menjerit, Gangster, Bilut, Berlari Ke Langit, Castello dan Syaitan (hanya sebahagian filem disebutkan), isu ‘Pemerdagangan Manusia’ dipilih sebagai subjek penceritaan filemnya kali ini, terbit atas dasar kesedaran yang tinggi selain melihat ia sebagai satu kegiatan yang menidakkan ‘hak asasi manusia’.

 “Perusahaan jenayah ini adalah kedua terbesar di dunia, selain paling menguntungkan dan paling pesat berkembang  selepas ‘pengedaran dadah’.  Dengan kepesatan perkembangannya secara tidak langsung menjelaskan ‘Pemerdagangan Manusia’ ini, satu industri jenayah sangat merbahaya.

“Ramai orang tidak menyedari diri mereka diperguna, diperalat dan diperhambakan dalam pelbagai cara dan aspek termasuklah melalui orang ketiga,” katanya.

Dari kaca mata seorang pengarah, Bade yakin pemilihan subjek Pemerdagangan Manusia, cukup relevan untuk dipaparkan kepada masyarakat umum memandang isu yang diketengakah berkait rapat dengan kehidupan masyarakat dunia, yakni sesiapapun berisiko menjadi mangsanya.

Subjek Pemerdagangan Manusia ini nyata bukan sesuatu yang asing malah, diketengahkan dalam kebanyakan filem Hollywood antaranya ‘Taken’. Namun, apa yang membezakan mengenai Sindiket ini ia membawa penonton menyorot ‘Perdagangan Manusia’ yang berlaku di Malaysia.

“Saya sendiri terinspirasi menghasilkan filem ini berlandaskan kisah benar seorang wanita warga tempatan, yang diperdaya teman lelaki lalu menjualnya kepada pengusaha rumah pelacuran. Dia diberi dadah dan dipaksa melacur,” kata Bade.

Melibatkan barisan pelakon berpengalaman serta berpontensi besar, ‘Sindiket’ dibintangi Sharnaaz Ahmad, Liyana Jasmay, Sharifah Amani, Daphne Iking, Tony Eusoff, Rashidi Ishak, Soo Wincci dan ramai lagi.

Pembikinan filem dengan jumlah kos RM3 juta merangkumi promosi itu, akan memulakan sesi penggambarannya pada 6 Jun 2013 selama sebulan, berlokasikan beberapa tempat menarik di Sabah antaranya Kota Kinabalu, Kundasang dan Pulau Sebatik termasuk Kalimantan, Indonesia.
Sabah dan Kalimantan, disifatkan oleh Bade sebagai destinasi paling ideal dalam merealisasikan filem terbarunya itu kerana kedua-duanya berada di sempadan negara masing-masing.

“Pembikinan filem ini juga membabitkan banyak pihak seperti  Unit Pyrotechnic, Angkatan Tentera Darat Malaysia, Angkatan Tentera Laut Malaysia, Angkatan Tentera Udara Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan Pasukan Gerakan Marin.

“Selain itu, ‘Sindiket’ juga menggunakan khidmat pelakon lagak ngeri dan koreografer yang akan mencantikkan lagi pergerakan babak aksi,” katanya.

DSCF0307

SINOPSIS ‘SINDIKET’

 

Kematian seorang gadis, membongkar satu persatu rahsia sekaligus membantu  Inspektor Rudy daripada Unit Khas D7 memburu Geng Sulu yang paling dikehendaki bagi sindiket pemerdagangan manusia di Malaysia.

 

Pencarian Inspektor Rudy akhirnya berhasil apabila  dia berjaya menyerbu lokasi yang dipercayai menjadi tempat persembunyian ketua Geng Sulu bernama Galang. Namun, dalam pertempuran itu yang menyaksikan beberapa anggota Gang Sulu tumpas dan tercedera, Galang sempat  melarikan diri.

 

Galang sempat lari bersama orang-orang kanannya dan membawa beberapa gadis remaja yang menjadi mangsa sindiket itu termasuklah Noreen, Amira dan Yanti.

 

Noreen dan Amira bersahabat baik.  Mereka adalah pelajar tahun pertama di universiti. Mereka terpedaya pada iklan yang mempromosikan pakej percutian di sebuah pulau. Yanti yang berasal dari sebuah kampung di Indonesia pula tertipu dengan cinta palsu dan tawaran pendapatan lumayan di Malaysia.

 

Susulan kejadian itu, Galang membawa mereka semua ke sebuah lokasi baru dan merancang untuk menjual gadis-gadis itu ke negara lain.

 

Inspektor Rudy, harus melakukan sesuatu untuk menyelamatkan mangsa-mangsa ini sekaligus menebus kegagalan misinya untuk melumpuhkan sindiket itu sebelum ini meskipun Galang dan kuncu-kuncunya begitu licik. 


Spread the love

One comment on “(HIBURAN) ‘Sindiket’ filem ke-11 taruhan Bade

  1. broh says:

    best gler.. tadi aku pergi membeli susu lembuh at kundasang.. t’tba nampak pengambaran sindiket ni.. perghh.. best gler…

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *