PULAU PINANG, 19 NOVEMBER 2026 – Model motosikal pengembaraan yang dinantinantikan, Benelli TRK 702X kini secara rasminya tersedia di pasaran Malaysia dengan harga RM35,888.00, hadir dalam dua pilihan warna menarik iaitu Active Black dan Stealth Green. Menggabungkan prestasi enjin dua silinder, teknologi terkini serta kelengkapan yang praktikal, model ini menawarkan pengalaman pengembaraan yang lebih versatil untuk pelbagai gaya tunggangan.
Bagi sesetengah penunggang, perjalanan bukan sekadar menuju ke destinasi, tetapi tentang kebebasan meneroka dan menikmati setiap kilometer yang dilalui. Berteraskan semangat pengembaraan ini, Benelli TRK 702X direka untuk memenuhi keperluan kegunaan harian, perjalanan jarak jauh mahupun penerokaan luar jalan raya (off-road).
Teras di sebalik keupayaan pengembaraannya, Benelli TRK 702X dijana enjin 2 silinder, 4 lejang, 8 injap DOHC berkapasiti 698 cc dengan sistem penyejukan cecair, mampu menghasilkan kuasa maksimum 51.5 kW pada 8,000 rpm dan tork maksimum 70 N.m pada 6,000 rpm. Dengan ukuran piston dan lejang 83 × 64.5 mm serta nisbah mampatan 11.6:1, enjin ini dilengkapi sistem penghidup elektrik, pencucuhan T.C.I. dan suntikan bahan api elektronik (EFI) Bosch bagi menyokong prestasi tunggangan yang responsif.
Model ini bercirikan transmisi enam kelajuan dengan pacuan rantai, dipadankan dengan klac berbilang plat jenis basah dan pendikit mekanikal. Gabungan ini memberikan penunggang kawalan yang lebih langsung terhadap tindak balas enjin, sama ada ketika melalui kesibukan bandar mahupun menikmati perjalanan di lebuh raya. Sistem pelinciran yang digunakan ialah jenis tekanan dan percikan untuk kelancaran operasi enjin. Tangki bahan api berkapasiti 20 L, melengkapkan karakter pengembaraannya, membolehkan penunggang merancang perjalanan lebih jauh dengan lebih praktikal.
Pengendalian Benelli TRK 702X disokong suspensi hadapan fork teleskopik terbalik dengan jarak pergerakan 140 mm dan suspensi belakang jenis monoshock dengan jarak pergerakan 33 mm. Sistem brek merangkumi cakera terapung berkembar berdiameter 320 mm dengan angkup empat piston di hadapan, manakala bahagian belakang menggunakan brek cakera tunggal berdiameter 260 mm dengan angkup satu piston.
Konfigurasi ini dilengkapkan lagi dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dua saluran Bosch yang membantu mengurangkan risiko tergelincir ketika membrek, serta Sistem Kawalan Cengkaman (TCS) yang boleh diaktifkan atau dinyahaktifkan untuk meningkatkan kawalan dan kestabilan. Dua mod tunggangan, iaitu Road dan Off Road juga tersedia bagi menyesuaikan tunggangan dengan keadaan laluan.
Dengan dimensi keseluruhan 2,220 mm panjang, 925 mm lebar dan 1,420 mm tinggi, Benelli TRK 702X menampilkan reka bentuk yang tegap dan sesuai dengan karakter motosikal pengembaraan. Jarak roda 1,505 mm menyokong kestabilan tunggangan, manakala berat keseluruhan 222 kg dan ketinggian tempat duduk 830 mm melengkapkan konfigurasi motosikal ini untuk pelbagai keperluan perjalanan.
Menggunakan tayar METZELER bersaiz 110/80 R19 di hadapan dan 150/70 R17 di belakang, Benelli TRK 702X menawarkan cengkaman dan kestabilan dalam pelbagai keadaan jalan dipadankan dengan rim jejari, menyerlahkan karakter pengembaraannya. Kelegaan tanah setinggi 210 mm memberikan ruang untuk permukaan jalan yang tidak rata, sekali gus meningkatkan keyakinan penunggang ketika meneroka laluan baharu.
Keselesaan penunggang dipertingkatkan menerusi kemudahan yang tersedia seperti penghadang angin, pelindung tangan, dan tuil brek dengan empat tahap pelarasan. Palang perlindungan juga disediakan bagi membantu melindungi komponen motosikal sekiranya berlaku insiden terjatuh atau hentakan kecil.
Untuk perjalanan yang lebih praktikal, turut tersedia set kotak kembara tiga unit yang terdiri daripada satu kotak atas dan dua kotak sisi. Kelengkapan ini menyediakan ruang tambahan untuk membawa barangan peribadi serta keperluan perjalanan, sama ada bagi pengembaraan hujung minggu atau perjalanan jarak jauh.
Bagi melengkapkan pengalaman tunggangan moden, Benelli TRK 702X dilengkapi paparan TFT bersaiz lima inci bersama sambungan Bluetooth untuk akses nombor kenalan serta port pengecasan USB Type-A dan Type-C bagi memudahkan pengecasan peranti elektronik sepanjang perjalanan. Suis kawalan berlampu latar pula memudahkan penunggang mengenal pasti fungsi kawalan pada waktu malam, manakala sistem pencahayaan LED penuh menawarkan pencahayaan yang terang dan cekap tenaga.
Ciri lain yang tersedia termasuk suis keselamatan tongkat sisi, dan lampu plat pendaftaran bagi meningkatkan keterlihatannya dalam keadaan cahaya rendah. Sistem elektrik motosikal ini disokong oleh bateri 12V 11.2Ah bagi memenuhi keperluan operasi dan kelengkapan elektroniknya.
Dengan setiap pembelian Benelli TRK 702X, para pembeli boleh menikmati waranti selama 2 tahun. Perlindungan komprehensif penuh merangkumi tempoh 2 tahun atau sehingga 20,000 km (yang mana terdahulu). Sekiranya perbatuan melebihi 20,000 km dalam tempoh 2 tahun tersebut, komponen enjin kekal dilindungi di bawah waranti perbatuan tanpa had bagi baki tempoh waranti yang ada.
Selain itu, para pembeli juga boleh mendapatkan alat ganti tulen melalui perkhidmatan pembelian dalam talian yang disediakan oleh Benelli Malaysia dengan menghubungi +60 12-485 0133.
Tertakluk kepada terma dan syarat.
