Telekom Malaysia Berhad (TM) menerusi perkhidmatan IPTVnya, HyppTV dengan kolaborasi bersama Enjoy TV Holding Sdn Bhd hari ini secara rasminya melancarkan Hao Xiang Shopping TV – saluran TV beli-belah berbahasa Mandarin PERTAMA seumpamanya di Malaysia yang bersiaran selama 24 jam. Hao Xiang Shopping TV akan bersiaran menerusi Saluran 122 di HyppTV dengan sari kata Bahasa Inggeris dan ditayangkan dalam bentuk Definisi Tinggi (HD). Bagi keselesaan para penonton, saluran ini boleh didapati sebagai saluran percuma HyppTV termasuklah menerusi aplikasi mudah alih HyppTV Everywhere bermula 1 April 2015.
Saluran terbaru ini telah dilancarkan secara rasminya oleh Jeremy Kung, Naib Presiden Eksekutif, New Media, TM dan Sam Yap, Pengerusi, Enjoy TV Holding Sdn Bhd dalam satu acara yang berlangsung meriah di Berjaya Times Square Hotel. Turut hadir pada majlis tersebut adalah Chen Jian, Pengarah Saluran Antarabangsa bagi Chiang Jiang Su Broadcasting Corporation Group, Regine, Penasihat bagi saluran Hao Xiang Shopping, yang turut merupakan Asian No. 1 Shopping Queen, serta penilik nasib terkenal, Master Chiang Bo-Le.
Bercakap pada majlis pelancaran tersebut, Jeremy berkata, “Kami amat berbesar hati untuk melancarkan Hao Xiang Shopping TV sebagai saluran beli-belah 24 jam berbahasa Mandarin pertama di Malaysia. Saluran terbaru ini turut melengkapkan saluran TV beli-belah berbahasa Inggeris sedia ada kami, Direct Showcase, dan turut memberikan para pelanggan kami yang kian bertambah bilangannya dengan pengalaman beli-belah yang dipertingkatkan menerusi HyppTV. Dengan pelbagai produk yang ditawarkan di Hao Xiang Shopping TV, bukan sahaja memberi keselesaan kepada penonton kami untuk membeli-belah ketika berada di rumah malah juga ketika berada di luar rumah dengan aplikasi mudah alih kami HyppTV Everywhere.”
“Hao Xiang Shopping TV juga boleh ditonton dalam bentuk HD dengan sari kata Bahasa Inggeris, membolehkan penonton yang bukan berbangsa Cina untuk menikmati pengalaman beli-belah menerusi TV yang dipertingkatkan. Dengan adanya pasukan khidmat pelanggan yang khusus menerusi talian bebas tol, penghantaran yang pantas dan transaksi pembayaran yang lancar membolehkan pelanggan membeli sebarang produk pilihan mereka dengan hanya satu panggilan,” tambah beliau.
Sementara itu Sam Yap, dalam ucapannya berkata, “Kami merupakan saluran beli-belah berbahasa Mandarin pertama di Malaysia. Kami percaya bahawa penjenamaan saluran yang baik dengan operasi yang sistematik dan juga reputasi adalah amat penting untuk mendapatkan kepercayaan para pelanggan kami. Selain itu, pembekal dan pilihan produk terbaik turut memainkan peranan penting dalam menentukan kejayaan sesebuah saluran beli-belah dalam talian.”
Hao Xiang Shopping TV menawarkan lebih daripada 300 produk termasuklah produk gaya hidup, fesyen dan pakaian, perkakas rumah dan banyak lagi. Saluran ini turut menawarkan pusat panggilannya dan perkhidmatan penghantaran, menawarkan jenamanya yang tersendiri dengan kualiti perkhidmatan terbaik kepada pelanggan seperti transaksi pembayaran yang lancar dengan penghantaran yang cepat tanpa perlu risau. Hao Xiang Shopping TV memberi keselesaan kepada pelanggannya dengan pengalaman khidmat pelanggan khusus dan mudah berkomunikasi bagi memastikan barangan yang dihantar berada dalam keadaan terbaik dan jaminan pulangan 7 hari untuk setiap pembelian.
Suasana di majlis pelancaran itu dimeriahkan lagi dengan persembahan khas oleh hos Hao Xiang Shopping TV seperti supermodel, Amber Chia dan Wilson Tan, pelakon tempatan Johnson Low, penyampai Radio – Jing Loong, Pei Ying dan Ryan Yong serta penampilan istimewa oleh Charlene Ong, finalis pertandingan The Beauty Champion.
Untuk meraikan pelancaran tersebut, Hao Xiang Shopping TV menawarkan keahlian VIP secara eksklusif dan baucar diskaun bernilai RM500 untuk 1,000 pelanggan HyppTV pertama yang membeli produk dari Hao Xiang Shopping TV sebelum akhir bulan Mei 2015. Pelanggan-pelanggan terawal juga layak untuk menyertai cabutan bertuah Hao Xiang Shopping TV yang akan bermula pada 23 Mei 2015. Untuk maklumat lanjut mengenai Hao Xiang Shopping TV, layari www.enjoytv.com.my atau pelanggan boleh menghubungi 1800-888-122 untuk sebarang pertanyaan.
HyppTV kini menawarkan kepada para pelanggannya sebanyak 120 saluran dengan 44 saluran dalam Definisi Tinggi (HD) – yang terdiri daripada 56 saluran premium, 23 saluran percuma, 5 saluran Radio, 16 saluran Video-On-Demand dan 20 saluran interaktif dalam pelbagai pakej nilai dan pilihan secara ala-carte. HyppTV dikuasakan oleh perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi TM, UniFi dan Streamyx 4Mbps dan 8Mbps yang tersedia untuk penonton tanpa mengira cuaca melalui pakej kediaman dan perniagaan bagi UniFi dan Streamyx. Pelanggan HyppTV juga boleh menikmati hiburan bertaraf dunia menerusi HyppTV Everywhere. Setakat ini, HyppTV mempunyai hampir 800,000 pelanggan.
Untuk maklumat lanjut mengenai HyppTV, layari www.tm.com.my/hypptv dan lawati laman media sosial HyppTV di www.facebook.com/hyppworld (Facebook), www.twitter.com/hyppworld (Twitter), www.instagram.com/hyppworld (Instagram) dan www.youtube.com/tmofficialtube (Youtube).