(SEMASA) SEBUAH KEBANGKITAN LEGENDA: BENDA NAPOLEON BOB 250 BAKAL TEMBUSI PASARAN MALAYSIA

Spread the love

PERAK, 5 OKTOBER 2024 – MForce Bike Holdings Sdn. Bhd. kali ini telah memperkenalkan sebuah motorsikal terbaru yang pastinya bakal menjadi pesaing hebat bagi pasaran motorsikal jenis V-Cruiser di Malaysia. Benda Napoleon Bob 250 yang menampilkan gaya menarik dan reka bentuk yang gagah ini diperkenalkan di MForce Best Shop Hoong Fatt Motoworld Sdn. Bhd., Ipoh.

Aura yang klasik dari model terbaru ini juga akan mengimbau semula kenangan nostalgia dan jiwa kebebasan kepada sesiapa sahaja yang melihatnya. Benda Napoleon Bob 250 turut diserikan dengan dua pilihan warna iaitu Black dan Silver.

Dengan sesaran 249cc, model klasik ini juga turut dilengkapi ABS pada brek hadapan dan belakang seterusnya meningkatkan kualiti perjalanan penunggang di jalan raya. Suspensi hadapan motorsikal adalah jenis teleskopik fork manakala suspensi belakang adalah dwi penyerap-hentak (Dual shock-absorber).

Menariknya juga model ini turut disertakan dengan sistem kawalan cengkaman (TCS) yang berfungsi untuk menghalang motosikal daripada mudah tergelincir. Sistem ini akan mengawal kelajuan putaran roda dan secara signifikan mengurangkan kemungkinan berlakunya tergelincir, sekaligus meningkatkan keselamatan dan kestabilan ketika menunggang.

Selain itu, Benda Napoleon Bob 250 menggunakan mod silinder-V2 dengan kuasa maksimum setinggi 19Kw/9,000rpm berserta tork maksimum 25N-m/5,500rpm dan dilengkapi dengan 4-lejang dan 8-injap. Gerek dan lejangnya berukuran ø53.5mm × 55.4mm dengan kadar nisbah mampatan adalah 11.8:1. Ia turut dilengkapi dengan SOHC, sistem pelinciran percikan dan sistem penyejuk cecair.

Penggunaan sistem penyejukan cecair membantu mengekalkan suhu enjin pada tahap optimum. Cecair yang digunakan adalah cecair penyejuk khas yang mengandungi alkohol untuk mengelakkan pembekuan serta melindungi daripada karat atau pengoksidaan. Cecair penyejuk ini akan melalui saluran yang direka khusus dalam enjin untuk penyejukan yang lebih efisien.

Walaupun motorsikal ini membawa imej klasik, namun sistem penghidupnya adalah seiring dengan perkembangan teknologi terkini iaitu menggunakan sistem penghidup elektrik. Papan pemukanya pula menggunakan teknologi LCD yang memberikan visual meter yang jelas. Sistem bahan apinya juga mengaplikasikan fungsi Pancitan Bahan Api Elektronik (EFI) yang lebih ekonomi tanpa menjejaskan prestasi motorsikal.

Benda Napoleon Bob 250 turut mempunyai kapasiti tangki minyak sebesar 9.5L yang sesuai untuk perjalanan jarak jauh yang ekstrim atau hanya sekadar ingin bersiar-siar menikmati udara segar. Sepadan dengan sistem penukaran gear jenis 6-kelajuan, model ini turut dilengkapi dengan klac jenis gelongsor yang mampu meningkatkan impak penunggangan.

Beralih kepada dimensi motorsikal, Benda Napoleon Bob 250 mempunyai berat 182kg dengan panjang keseluruhan 2,333mm, lebar 838mm dan tinggi 1,038mm. Ketinggian tempat duduk pula adalah 748mm memudahkan mereka untuk menaiki dan menunggang motorsikal ini.

Benda Napoleon Bob 250 bakal dilancarkan pada awal tahun 2025 dengan penawaran harga anggaran dari RM20,000 hingga RM25,000 tidak termasuk cukai dan insurans.

TENTANG BENDA

Benda adalah jenama motosikal yang sedang berkembang pesat dengan reka bentuk berani dan inovasi terkini. Dikenali kerana gabungan teknologi canggih dan estetik yang menarik, Benda menawarkan pelbagai motosikal yang sesuai untuk penunggang di bandar dan juga pencinta pengembaraan. Dengan fokus pada prestasi, gaya, dan keterjangkauan, Benda berjaya menarik perhatian peminat motosikal yang menginginkan keseimbangan antara kuasa, keselesaan, dan reka bentuk moden.

Benda memasuki pasaran Malaysia dengan visi untuk membawa inovasi dan gaya unik ke dalam dunia motosikal tempatan. Sejak kemunculannya, Benda telah menarik minat peminat motosikal di Malaysia melalui model-model yang memaparkan reka bentuk futuristik dan prestasi berkuasa. Dengan memperkenalkan motosikal yang memenuhi citarasa pengguna moden, Benda Malaysia komited untuk menawarkan kualiti tinggi pada harga yang berpatutan. Jenama ini semakin dikenali di kalangan penunggang tempatan yang menghargai kombinasi teknologi canggih dan gaya yang menonjol, menjadikannya pilihan utama bagi mereka yang mencari sesuatu yang baru dan segar dalam dunia motosikal.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *