(SUKAN) GRAND PRIX MALAYSIA PETRONAS 2025 KEMBALI DENGAN SASARAN PENONTON SEHINGGA 200,000 PEMINAT DAN PENGALAMAN PEMINAT YANG DIPERTINGKATKAN

Spread the love

Selasa, 12 Ogos 2025 – Grand Prix Malaysia PETRONAS 2025 (MotoGP™ Malaysia) telah dilancarkan secara rasmi pada petang ini di TRX City Park, Kuala Lumpur. Dianjurkan oleh PETRONAS Sepang International Circuit (PETRONAS SIC), majlis pelancaran ini telah disempurnakan oleh YB Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan Malaysia, dan dihadiri oleh para penaja, rakan industri, serta pihak media.

Acara ini dijadualkan berlangsung dari 24 hingga 26 Oktober 2025, menandakan 34 tahun penyertaan Malaysia dalam kalendar global MotoGP™. Ia juga merupakan edisi ke-26 yang dianjurkan di PETRONAS SIC, menjadikannya acara sukan antarabangsa paling lama dianjurkan di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS SIC, Azhan Shafriman Hanif, berkata:
“Dengan 184,923 penonton pada 2024 dan sasaran 200,000 tahun ini, MotoGP™ Malaysia terus mengukuhkan kedudukannya sebagai salah satu acara sukan terkemuka di rantau ini. Kami telah mencapai 75% kapasiti tiket dan tahun ini kami memperkenalkan pelbagai penambahbaikan kepada pengalaman peminat, termasuk festival muzik elektronik (EDM) pra-lumba buat pertama kali. Selain itu, RM1 daripada setiap tiket yang dijual akan disalurkan ke Kumpulan Wang Amanah Sukan Negara (KWASN) bagi menyokong Program Pembangunan Sukan Permotoran, mencerminkan komitmen jangka panjang kami dalam melahirkan bakat baharu di samping memberikan pengalaman bertaraf dunia.”

YB Hannah Yeoh pula berkata:
“Selama lebih tiga dekad, MotoGP™ Malaysia bukan sekadar acara sukan permotoran. Ia adalah aset strategik negara yang merancakkan pelancongan, mewujudkan peluang pekerjaan, dan menyokong pembangunan belia. Melalui inisiatif seperti Tiket Rahmah dan Rakan Muda – Rakan Litar, kami menjadikan sukan permotoran lebih mudah diakses, inklusif, dan mampan. Dengan pulangan pelaburan 6.3 kali ganda dan lebih RM329 juta impak ekonomi, acara ini memberikan nilai nyata kepada ekonomi dan komuniti. Ia juga menjadi platform penting untuk menginspirasi juara masa depan, seperti yang dibuktikan oleh perjalanan Hakim Danish dan Qabil Irfan, bahawa rakyat Malaysia mampu bersaing di pentas dunia. Ini mencerminkan komitmen kami membina negara sukan bertaraf dunia yang bersedia untuk masa depan.”

Selari dengan sokongan kepada agenda Malaysia MADANI, PETRONAS SIC meneruskan inisiatif Tiket Rahmah dengan menawarkan tiket K2 Hillstand pada harga hanya RM49.90, memastikan sukan permotoran kekal mampu diakses oleh semua. Bersempena pelancaran ini, promosi Beli 1 Percuma 1 untuk Tiket Rahmah ditawarkan selama 24 jam sahaja, bermula jam 12.00 tengah hari pada 12 Ogos.

Buat pertama kali, MotoGP™ Malaysia akan didahului oleh dua festival EDM berskala besar, dianjurkan bersama Hi-Five Entertainment dan Neon Projects. Festival bermula pada 18 Oktober dengan pelancaran “HARDTECH”, diikuti tayangan perdana di Malaysia untuk Transmission Festival pada 19 Oktober bertemakan “The Awakening”. Festival ini dijangka menarik ribuan peminat antarabangsa, sekali gus memberi lonjakan besar dari segi ekonomi, budaya, dan pelancongan menjelang Minggu Perlumbaan.

Selain aksi perlumbaan yang mengujakan, peminat boleh menantikan pelbagai aktiviti sampingan yang meriah. Minggu Perlumbaan secara rasmi bermula pada 21 Oktober dengan perarakan motosikal dan sesi bertemu peminat di IOI City Mall, Putrajaya. Pada 24 dan 25 Oktober, akan diadakan Public Pit Lane Walk dan Sesi Tandatangan Pelumba, manakala Night Track Tour kembali pada 24 Oktober.

Tidak ketinggalan, MotoGP™ Mega Carnival akan menampilkan lebih 100 jenama gaya hidup dan permotoran terkemuka, aktiviti mesra keluarga, pilihan makanan dan minuman, serta hiburan, menjadikannya lebih daripada sekadar perlumbaan – ia adalah festival untuk semua peringkat umur. Aktiviti kegemaran peminat seperti Perarakan Pelumba dan Hero Walk akan berlangsung pada 25 dan 26 Oktober.

Peminat bertuah juga berpeluang memenangi sebuah motosikal Aprilia RS457 bernilai RM33,900 menerusi #MalaysianGP2025 Mega Lucky Draw, yang terbuka kepada pemegang tiket Grandstand sahaja, dengan pemenang diumumkan pada hujung minggu perlumbaan. Selain itu, 6 pasangan hadiah penginapan eksklusif juga ditawarkan menerusi pertandingan media sosial bulanan, dengan pemenang diumumkan setiap hujung bulan.

Tiket kini dijual dengan pantas di www.sepangcircuit.com. Ikuti saluran media sosial kami untuk pengumuman terkini, aktiviti Minggu Perlumbaan, pertandingan dan promosi.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *