KUALA LUMPUR, 19 September 2026 – Malaysia Sarong Music Run 2026 berlangsung meriah hari ini di Kuala Lumpur City Centre (KLCC), menghimpunkan 20,000 peserta tempatan dan antarabangsa bagi meraikan gaya hidup sihat, warisan budaya dan semangat perpaduan rakyat Malaysia.
Acara berkonsepkan budaya yang memasuki edisi ketiga ini menyaksikan para peserta menggayakan kain sarung sepanjang larian sejauh 5km, sambil menikmati persembahan muzik, aktiviti kebudayaan dan pelbagai pengisian interaktif untuk seisi keluarga. Malaysia Sarong Music Run terus mengetengahkan warisan negara melalui pendekatan yang dekat dengan masyarakat masa kini. Acara ini membawa mesej bahawa kain sarung bukan sekadar bahan pameran, sebaliknya merupakan sebahagian daripada identiti dan kehidupan rakyat Malaysia yang merentasi kaum serta generasi.
“Edisi ketiga ini mencerminkan sambutan positif masyarakat terhadap acara yang menggabungkan gaya hidup sihat dengan penghargaan terhadap budaya. Kami berharap setiap peserta pulang bukan sahaja dengan pengalaman larian yang menghiburkan, tetapi juga dengan rasa bangga terhadap warisan Malaysia. Kami turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada JETOUR selaku Penaja Utama, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta semua penaja dan rakan strategik atas sokongan dalam menjayakan acara ini,” kata Eddy Casmady, Pengasas Malaysia Sarong Music Run.
Salah satu detik istimewa acara ialah bacaan ikrar yang dipimpin oleh penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, bersama para peserta lain seperti Pinn Ying dan Christy Ng. Bacaan ikrar tersebut menyemarakkan semangat perpaduan, kecintaan terhadap negara dan penghargaan terhadap kepelbagaian warisan Malaysia. Pelepasan rasmi peserta Malaysia Sarong Music Run 2026 telah disempurnakan oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Acara berkenaan turut dihadiri wakil kementerian, pihak industri, penaja, rakan strategik, komuniti larian serta penggiat seni dan budaya.
Acara dimulakan dengan bacaan doa oleh Azmi daripada kumpulan Caliph Buskers, sebelum pelepasan Malaysia Speed 5K pada 4.30 petang serta kategori berjalan 3 km dan larian 5km pada 6.10 petang. Laluan yang bermula dan berakhir di KLCC dimeriahkan dengan muzik secara langsung, sajian tempatan, bendera Malaysia sepanjang 2km oleh Pasukan Astro Radio, penyertaan Bella Astillah serta pingat Malaysia Speed 5K beridentitikan kepahlawanan negara.
Kain sarung dipilih sebagai simbol utama acara kerana penggunaannya yang begitu dekat dengan kehidupan masyarakat Malaysia. Pelbagai corak, warna dan gaya yang ditampilkan mencerminkan kepelbagaian budaya negara serta nilai kebersamaan yang diwarisi sejak turun-temurun.
Selaras dengan aspirasi Tahun Melawat Malaysia 2026-2027, Malaysia Sarong Music Run membantu memperkukuh kedudukan negara sebagai destinasi pelancongan budaya dengan menawarkan peluang kepada pengunjung tempatan dan antarabangsa untuk menghayati kepelbagaian tradisi, muzik serta keramahan rakyat Malaysia di tengah-tengah ibu negara.
Acara turut dimeriahkan dengan persembahan kebudayaan, pelancaran model baharu JETOUR dan konsert kumpulan HUJAN. Sambutan memberangsangkan terhadap edisi kali ini terbukti apabila pendaftaran mencapai kapasiti penuh seramai 20,000 peserta.
Penglibatan JETOUR sebagai Penaja Utama memperkukuh kerjasama antara pihak penganjur dengan sektor korporat dalam menjayakan program berasaskan komuniti. Sokongan tersebut membantu memperluas jangkauan acara serta meningkatkan pengalaman peserta sepanjang Malaysia Sarong Music Run 2026. Penganjuran tahun ini turut dimeriahkan dengan larian 5km Malaysia Speed serta konvoi melibatkan 100 buah kenderaan JETOUR T1 dan T2. Pelepasan peserta Malaysia Speed telah disempurnakan oleh Presiden JETOUR International, Encik Ke Chuandeng.
Gabungan elemen tradisional dengan format larian dan persembahan muzik menjadikan acara ini lebih dekat serta relevan kepada generasi muda. Pada masa yang sama, penganjuran ini menyediakan ruang kepada penggiat seni, usahawan tempatan dan komuniti budaya untuk memperkenalkan hasil serta kreativiti mereka kepada khalayak yang lebih luas.
