Berita baik untuk semua peminat sukan tanahair! Sukan SEA kini kembali untuk edisi ke-27 dan bakal bersiaran di TV3, stesen televisyen nombor satu negara dan portal video Tonton! Digemuruhkan oleh Telekom Malaysia Berhad (TM) selaku Penaja Utama dengan kerjasama Milo, rakyat Malaysia berpeluang untuk mengikuti acara langsung dan perkembangan terkini Sukan SEA, sebuah temasya sukan dwitahunan berprestij yang menampilkan atlet-atlet terbaik dari seluruh Asia Tenggara.
Dengan itu, sebuah majlis istimewa pengumuman TV3 sebagai Rakan Penyiar Sukan SEA Ke-27 dengan kerjasama Telekom Malaysia Berhad (TM) selaku Penaja Utama dan Milo sebagai Rakan Penaja diadakan di Sri Pentas, Bandar Utama. Majlis diserikan dengan kehadiran tetamu kehormat Timbalan Menteri Belia dan Sukan, YB Datuk Saravanan Al Murugan, Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia, YBhg Dato’ Sieh Kok Chi, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), YBhg Dato’ Zolkeples Embong, wakil Media Prima Berhad, Ahmad Izham Omar, Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Shareen Ooi, Ketua Pegawai Pemasaran Kumpulan, Media Prima Berhad, Sherina Nordin, Pengurus Besar Kumpulan TV3 & TV9, Lam Swee Kim, Pengurus Besar Kumpulan, Media Prima Digital, wakil Telekom Malaysia Berhad (TM), YBhg Dato’ Rozalila Abd. Rahman, Ketua Pegawai Pemasaran, TM, dan wakil Milo, Ng Ping Loong, Pengurus Pemasaran Penajaan Sukan, Nestle.
Turut hadir ialah atlet yang mewakili Malaysia di Naypyitaw, Myanmar, mereka ialah Adiq Husaini (Basikal), Nisha Alagasan (Karate), Bibiana Ng (Menembak), Joselyn (Menembak), Diana Bong (Wushu), Ng Shin Yi (Wushu), Lo Choon Sing (Olahraga) dan S. Kannathasan (Olahraga). Tidak ketinggalan persembahan daripada Persatuan Wushu Malaysia, Pertubuhan Silat Seni Pusaka Gayong Selangor, Malaysian Drum Symphony dan juara ‘Vokal…Bukan Sekadar Rupa’ musim ke-2, Uchop.
Selepas Indonesia, Myanmar diberi penghormatan untuk menjadi tuan rumah Sukan SEA ke-27, setelah menganjurkannya dua kali sebelum ini pada tahun 1961 dan 1969. Edisi kali ini akan berlangsung di ibu negara Myanmar yang baru iaitu Naypyitaw dan beberapa bandar lain seperti Yangon, Mandalay dan Pantai Ngwe Saung bermula 11 hingga 22 Disember 2013 dengan tema “Hijau, Bersih dan Persahabatan” (Green, Clean & Friendship). Rebutan 460 pingat bakal menghangatkan 25 lokasi, antaranya, Stadium Wunna Theikdi, Stadium Zeyar Thiri, Stadium Aung San, Stadium Theinphyu, Stadium Bola Sepak Mandalar Thiri, Kompleks Sukan Nasional Thuwana, Pusat Konvensyen Myanmar dan Pantai Ngwe Saung.
11 buah negara yang akan bertanding ialah Indonesia, Malaysia, Thailand, Singapura, Vietnam, Filipina, Laos, Myanmar, Kemboja, Brunei dan Timor-Leste di dalam 34 acara termasuklah Bola Sepak, Futsal, Badminton, Olahraga, Basikal, Wushu, Taekwondo dan Pencaksilat yang bakal menjadi perhatian peminat sukan tanah air. Malah, tuan rumah, Myanmar, kembali mempertandingkan sukan seperti Hoki, Bina Badan dan Muay serta memperkenalkan sukan Chinlone (sebuah sukan tradisional masyarakat Burma yang menggabungkan sukan dan tarian).
Bagi sukan Bola Sepak, skuad Harimau Muda kendalian Datuk Ong Kim Swee diletak di dalam Kumpulan A bersama Vietnam, Singapura, Laos dan Brunei. Harimau Muda akan berhadapan Brunei pada perlawanan pertama, 10 Disember 2013. Jika pasukan bola sepak tanah air berjaya mempertahankan pingat emas yang dimenangi pada tahun 2009 dan 2011, ia merupakan pertama kali Malaysia melakukan hat-trick di dalam Sukan SEA (selepas Burma dan Thailand). Lebih istimewa, dengan sasaran 40 pingat emas, kontinjen Malaysia bakal melakarkan sejarah meraih jumlah 1000 pingat emas sejak Sukan SEA diperkenalkan pada tahun 1959.
TV3 dan Telekom Malaysia Berhad (TM) dengan kerjasama Milo akan menyiarkan siaran langsung ‘Liputan Harian Sukan SEA 2013’ pada setiap hari bermula jam 5.30 petang hingga 6.30 petang dan ‘Rangkuman Harian Sukan SEA 2013’ bermula jam 12.30 tengah malam hingga 1.00 pagi. Menampilkan gandingan pengulas dan penyampai sukan terbaik tanah air iaitu Abu Bakar Atan, Tabah Sazwan Othman, Hasnida Hanim, Nadia Zuber dan Luqman Hakim.
Siaran langsung perlawanan bola sepak peringkat kumpulan melibatkan pasukan Harimau Muda pula bakal disiarkan di TV9. Jadual lengkap seperti di bawah:
No. | Perlawanan |
Tarikh |
Waktu |
1 |
Malaysia lawan Brunei |
10 Disember 2013 |
5.30 petang – 8.00 malam |
2 |
Malaysia lawan Laos |
13 Disember 2013 |
5.30 petang – 8.00 malam |
3 |
Malaysia lawan Singapura |
15 Disember 2013 |
5.30 petang – 8.00 malam |
4 |
Malaysia lawan Vietnam |
17 Disember 2013 |
5.30 petang – 8.00 malam |
Sempena liputan Sukan SEA edisi ke-27 ini, pihak produksi akan membawa kandungan ‘Hit Point’. Fokus terarah ke sukan seperti Bola Sepak, Olahraga, Sepak Takraw, Akuatik dan beberapa sukan utama lain. Menerusi sukan Bola Sepak, pengulas akan membincangkan tentang statistik, keputusan lepas dan fakta serta perkembangan terkini skuad Harimau Muda bersama tetamu jemputan, Baddrol Bakhtiar (Ketua Pasukan Malaysia di Sukan SEA 2011, Indonesia). Melalui sukan Olahraga pula akan menyentuh berkaitan kontroversi dan situasi terkini arena olahraga tanah air, Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia dan Majlis Sukan Negara selain mengimbas kembali sejarah dan detik-detik gemilang di zaman Dr. Jega, Rajamani, Marina Chin, Nur Herman Majid, Nazmizan Mohamad dan G. Sivalingam bersama tetamu istimewa, Noraseela Khalid.
Selain Bola Sepak dan Olahraga, Sepak Takraw dan Akuatik juga bakal menjadi fokus liputan Sukan SEA. Seperti diketahui umum, Malaysia bukan lagi pasukan yang digeruni di kancah antarabangsa Sepak Takraw, namun, mampukah skuad Takraw kita membuktikan sesuatu selepas tewas kepada Korea dan Thailand di ISTAF Super Series? Ikuti reaksi sebelum dan selepas perlawanan bersama Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM). Di pentas Akuatik pula merupakan lubuk emas buat kontinjen Malaysia dan tumpuan pastinya lebih terarah ke Leong Mun Yee kerana penyertaan Sukan SEA kali ini merupakan yang ke-9 di dalam kariernya. Walaupun tanpa Ratu Terjun Negara, Pandalela Rinong, penerjun-penerjun muda wajar diberikan perhatian.
Seramai 22 orang krew produksi Primeworks Studios dan Jabatan Berita & Hal Ehwal Semasa, Media Prima Berhad dijadualkan bakal berangkat ke Nayphitaw, Myanmar pada 3 Disember 2013.
Pengurus Besar Kumpulan TV3 & TV9, Sherina Nordin berkata, “Sebagai stesen swasta nombor satu Malaysia yang merangkumi siaran paling luas dengan jumlah kadar tontonan yang tinggi, TV3 memainkan peranan penting menyemarakkan lagi Sukan SEA edisi ke-27 buat semua peminat sukan Malaysia. Kami amat berbesar hati dan berbangga kerana diberi kepercayaan untuk merealisasikan kolaborasi bersama Telekom Malaysia Berhad (TM) selaku Penaja Utama dan Milo sebagai Rakan Penaja dalam usaha untuk memertabatkan lagi prestasi sukan negara. Semoga usaha ini mengiringi dan membakar semangat atlet-atlet kita untuk terus melakar kejayaan di pentas antarabangsa khasnya di Myanmar bulan depan.”
Menurut Lam Swee Kim, Pengurus Besar Kumpulan, Media Prima Digital, “Ini merupakan kali kedua kami di Tonton membawakan liputan acara di Sukan SEA secara ‘online’ selepas kejayaan yang sama dirakamkan ketika penganjurannya pada 2011 yang lalu. Tonton mahu menjadi sebahagian daripada sejarah sukan skuad tanah air dan semestinya kolaborasi bersama TV3 serta penaja lain dilihat mampu menyemarakkan lagi sokongan rakyat terhadap wira sukan kita. Jangan ketinggalan untuk menyaksikan siaran terkini acara Sukan SEA walau di mana anda berada, kesemuanya kini hanya di hujung jari anda dengan Tonton.”
Mengulas mengenai kerjasama terbaru ini, Dato’ Rozalila menyatakan, “Melalui kempen Team Malaysia yang telah kami lancarkan sejak tahun 2011, TM akan terus mengorak langkah dalam memastikan rakyat Malaysia tidak ketinggalan dalam sama-sama menunjukkan sokongan padu mereka kepada atlet-atlet negara yang akan mengibarkan panji negara di persada sukan antarabangsa; tidak kira mana-mana acara kesukanan, lebih-lebih lagi acara yang bakal menjelang hujung tahun ini, Sukan SEA ke-27. Kempen kali ini adalah kesinambungan ombak sokongan yang disemarakkan oleh kumpulan sorak (chanters) Team Malaysia yang seringkali kita saksikan di acara-acara kesukanan – antaranya Sukan SEA ke-26, Sukan Olimpik 2012 dan Piala AFF Suzuki 2012. Kumpulan sorak (chanters) Team Malaysia juga akan turut dihantar ke Myanmar bagi membuktikan sokongan padu Team Malaysia kepada atlet-atlet negara yang akan bertanding di kejohanan sukan tersebut.”
“Kempen Kami Team Malaysia bukan sahaja dapat memperkukuhkan lagi penjenamaan Team Malaysia, tetapi pada masa yang sama akan memberikan suntikan semangat dan motivasi kepada atlet-atlet kebangsaan kita untuk meningkatkan usaha mereka bagi mengharumkan nama negara di persada sukan antarabangsa,” tambah Dato’ Roza.
Selain di TV3 dan Tonton, penonton juga boleh mengikuti Sukan SEA di Saluran 101 dan 103 HyppTV, perkhidmatan TV Internet Protokol (IPTV) yang dikuasakan oleh UniFi, perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi yang dibekalkan oleh TM. Ayuh, lontarkan sorakan semangat kepada kontinjen negara untuk mengiringi usaha mereka demi mempamerkan aksi terbaik di Sukan SEA!
Liputan harian Sukan SEA dan perlawanan bola sepak yang akan disiarkan di kaca TV, juga boleh disaksikan secara langsung dan global menerusi portal video Tonton (www.tonton.com.my) termasuk siaran “catch up”. Pendaftaran di Tonton adalah percuma dan kandungan video boleh ditonton di komputer, tablet atau telefon pintar anda!