(SUKAN) Warriors Sentap Rekod City Flyers, Southern Tigris Kembali Bernafas

Spread the love

IMG 1

Kuala Lumpur, 1 November 2015 : Pemburuan slot beraksi di separuh akhir SepakTakraw League Malaysia 2015 memasuki fasa lebih menarik selepas berakhirnya saingan minggu ketiga pada Ahad.

IMG 2

Paling mencuri tumpuan, Gomo Warriors yang bangkit dari ambang kekalahan untuk mencatat kemenangan pertama mereka di STL 2015 dengan menyentap rekod gah Kuala Lumpur City Flyers 2-1.

Gomo Warriors yang tewas kesemua tiga perlawanan terdahulu termasuk kekalahan terbaru kepada East Coast Surfers pada Sabtu, turun ke gelanggang dengan menyedari satu lagi kekalahan hampir pasti menutup terus peluang mereka untuk merebut slot beraksi di separuh akhir.

Dan berdepan City Flyers yang cemerlang menang kesemua tiga perlawanan lalu, misi mereka tampak semakin berliku namun pasukan dari Kelantan itu bangkit bergaya untuk mencatat kemenangan getir yang sekaligus menyaksikan mereka kini mempunyai peluang seimbang dan terbuka untuk mengintai kedudukan empat teratas.

Selepas regu pertama mereka gandingan Hisham Mat, Malek Faqimi Idris dan Aiman Fouzi tewas 21-10, 15-21, 14-21 dalam pertarungan hampir satu jam, ianya regu kedua diterajui apit kiri kebangsaan, Farhan Adam, Idham Sulaiman dan Afifudin Razali yang menghidupkan semula sisa perjuangan Gomo Warriors menerusi kemenangan 16-21, 21-18, 22-20 dalam aksi sengit mendebarkan yang berlangsung selama 75 minit.

Tanpa kelibat tekong terbaik STL 2014, Normanizam Ahmad, regu ketiga Khairul Hisyam, Aidil Azman Azwawi dan Wan Naim Azmi tetap berganding cemerlang dan membentuk persefahaman hebat untuk mengesahkan mata kemenangan Gomo Warriors menerusi kemenangan 21-15, 18-21, 21-14 ke atas Muqlis Borhan, Farid Aziz dan Hafiz Rahman.

Jurulatih Gomo Warriors, Rozi Rahman mengakui kemenangan ini cukup penting agar dapat memulihkan semula motivasi di kalangan pemainnya untuk menghadapi baki tiga perlawanan dengan lebih yakin dan bertenaga.

“Kita turun tanpa harapan yang besar, kita sedar City Flyers lawan yang sukar namun pemain tidak mengalah walaupun selepas ketinggalan 0-1. Mereka memberi segala apa yang terbaik mereka boleh berikan. Ia perlawanan yang mencabar, kesemua perlawanan berlangsung tiga set dan saya perlu puji kekuatan fizikal dan mental pemain saya.

“Kita tidak bernasib baik untuk tewas 2-1, 2-1, 2-1 dalam tiga perlawanan sebelum ini, pemain turun dengan motivasi mahu menang dan mereka lakukannya,” ujar Rozi.

Sementara itu, Southern Tigris turut menghidupkan semula harapan untuk mencari tiket beraksi di separuh akhir, mencatat kemenangan kedua setelah cemerlang menundukkan Northern Rangers 3-0.

Tewas mudah 0-3 kepada Angkatan Tentera pada Sabtu, Southern Tigris menampilkan aksi lebih yakin hari ini – regu pertama mereka dibarisi Haidzir Rashid, Shamsulhairi Saidi dan Norhafizi Abdul menang 21-16, 21-19 dalam masa 46 minit.

Trio kebangsaan, Hairul Hazizi Haidzir, Azmi Kadir dan Zamree Dahan mengesahkan mata kemenangan setelah menang 21-12, 19-21, 21-15 ke atas Kamal Aizat, Nazirul Akmal dan Zul Effendi Sumari sebelum regu Aziz Amin, Sofian Rahim dan Noor Rizal Jaafar mengesahkan kemenangan mutlak 3-0 juga selepas bertarung tiga set.

Selepas tamat empat perlawanan bagi kesemua pasukan, Black Panthers mengungguli kedudukan kumpulan dengan 8 mata diikuti ATM dan City Flyers masing-masing dengan 6 mata. Aksi STL 2015 akan berehat selama dua minggu sebelum kembali bersambung pada 14 November depan.

Keputusan :

Gomo Warriors mng City Flyers (2-1)

GW ‘A’ klh CF ‘A’ (21-10, 15-21, 14-21)

GW ‘B’ mng CF ‘B’ (16-21, 21-18, 22-20)

GW ‘C’ mng CF ‘C’ (21-15, 18-21, 21-14)

Southern Tigris mng Northern Rangers (3-0)

ST ‘A’ mng NR ‘A’ (21-16, 21-19)

ST ‘B’ mng NR ‘B’ (21-12, 19-21, 21-15)

ST ‘C’ mng NR ‘C’ (21-18, 12-21, 24-22)


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *