KUALA LUMPUR, 9 Jun 2026 — Selepas mencuri perhatian menerusi teaser, poster rasmi, treler dan lagu tema yang diperkenalkan sejak beberapa minggu lalu, Khadam akhirnya melangkah ke fasa terakhir sebelum tayangan umum menerusi Malam Tayangan Perdana yang berlangsung penuh gemilang malam tadi.
Menjelang tayangan rasminya di lebih 120 pawagam seluruh negara bermula 11 Jun ini, Khadam hadir sebagai sebuah karya sinematik yang mengangkat ketakutan paling dekat dengan masyarakat Melayu, ketakutan terhadap warisan yang tidak boleh ditolak, kesetiaan yang diuji dan harga yang perlu dibayar apabila manusia memilih untuk bersekutu dengan kejahatan.
Berlatar tahun 1950-an, Khadam mengikuti perjalanan Melor, seorang ibu yang berusaha melindungi keluarganya daripada saka yang telah lama diwarisi turun-temurun. Namun semakin kuat usahanya mempertahankan keluarga, semakin besar harga yang perlu dibayar. Sedikit demi sedikit, Melor bukan sahaja kehilangan kawalan terhadap kehidupannya, malah berdepan kemungkinan kehilangan segala yang paling disayanginya.
Menurut pengarah Shamyl Othman, filem ini lahir daripada keinginan untuk meneroka sisi seram yang lebih dekat dengan kehidupan dan budaya masyarakat Melayu.
“Dalam budaya Melayu, terdapat dua jenis pewarisan, satu berbentuk zahir iaitu pusaka dan satu lagi berbentuk ghaib iaitu saka, satu entiti yang diwarisi turun-temurun dan dipercayai berperanan melindungi serta membantu tuan empunyanya. Namun saka yang diwarisi tidak boleh ditolak. Kita sama ada menerimanya dan menjadi tuannya, atau berdepan dengan risiko keluarga diporak-perandakan olehnya,” jelas Shamyl.
Tambah beliau lagi, keseraman kisah ini tidak datang daripada saka itu sendiri, tetapi daripada akibat apabila manusia memilih untuk bersekutu dengan kejahatan tersebut.
Di sebalik elemen seram yang dipaparkan, filem ini turut mengangkat persoalan tentang keluarga, trauma generasi, tanggungjawab dan makna cinta yang sebenar, sambil mengajak penonton merenung satu persoalan utama apabila melangkah keluar dari pawagam, sejauh mana anda sanggup berkorban demi melindungi keluarga sendiri?
Kekuatan naratif tersebut diperkukuhkan menerusi lakon layar hasil nukilan Fariza Azlina Isahak yang membina ketegangan melalui lapisan emosi, kesunyian dan konflik dalaman yang jarang diterokai dalam filem seram tempatan. Dengan menjadikan Melor sebagai watak yang kehilangan suara, sama ada secara fizikal mahupun simbolik, filem ini membiarkan visual dan emosi mengambil alih peranan dialog dalam menyampaikan penderitaan serta perjuangannya sebagai seorang ibu.
Bagi Penerbit Eksekutif Datuk Ahmad Izham Omar, Khadam dibangunkan dengan satu matlamat yang jelas sejak awal pembangunan projek, iaitu untuk menghasilkan sebuah filem Malaysia yang mampu berdiri sebaris dengan karya-karya serantau dan antarabangsa dari segi mutu pembikinan, tanpa kehilangan identiti budaya yang menjadi tunjang penceritaannya.
“Kualiti sentiasa menjadi keutamaan kami dalam setiap aspek pembikinan Khadam. Daripada pembangunan skrip, pengarahan, rekaan produksi, muzik, pasca produksi hinggalah pemilihan pelakon, setiap keputusan dibuat dengan teliti bagi memastikan hasil akhirnya memenuhi standard yang kami tetapkan sejak hari pertama. Kami mahu menghasilkan sebuah karya yang bukan sahaja menghiburkan, tetapi mampu meninggalkan kesan yang mendalam kepada penonton serta membuktikan bahawa cerita tempatan juga mempunyai keupayaan untuk dipersembahkan pada tahap yang tinggi,” terangnya secara terperinci.
Diterbitkan oleh Red Communications dan Komet Productions, Khadam turut menghimpunkan rakan strategik dari seluruh rantau termasuk Magma Entertainment dan VMS Studios (Indonesia), Sil Metropole Organisation Ltd. (Hong Kong), Applause Entertainment (India), serta Primeworks Studios dan Golden Screen Cinemas (Malaysia), dengan sokongan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS). Kerjasama ini mencerminkan komitmen bersama dalam menghasilkan karya yang berakar pada budaya tempatan, namun dibangunkan dengan skala dan aspirasi yang merentasi sempadan.
Menerajui naskhah ini ialah bintang tersohor Indonesia, Aghniny Haque, yang buat pertama kalinya membintangi sebuah produksi filem Malaysia menerusi kerjasama antarabangsa berskala besar sebagai Melor, di samping Datuk Remy Ishak sebagai
Awang, antara gandingan paling dinanti tahun ini. Turut membarisi filem ini ialah Siti Khadijah Halim, yang terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara pelakon muda paling berbakat menerusi pelbagai karya televisyen dan filem, selain bakat baharu Karl’ El yang membuat penampilan sulungnya dalam dunia lakonan menerusi Khadam.
Filem ini turut diperkuatkan dengan persembahan mengagumkan Zarra Zhaff, yang memegang watak penting dalam perkembangan naratif dengan kematangan emosi dan kehadiran layar yang luar biasa, sekali gus menyerlahkan potensinya sebagai antara bakat muda yang wajar diberi perhatian. Melengkapkan barisan pelakon ialah kemunculan istimewa Jun Lojong sebagai Nek Mak, menjadikan Khadam sebuah karya yang menghimpunkan pengalaman, karisma dan generasi baharu yang sedang mencorakkan masa depan industri hiburan serantau.
Malam Tayangan Perdana yang berlangsung malam tadi turut mencerminkan dunia Khadam yang dibina dengan penuh teliti di layar perak. Ruang acara dihidupkan menerusi reka bentuk bunyi yang menggabungkan hujan, guruh dan lapisan audio yang membangkitkan rasa gelisah, manakala persembahan khas Ernie Zakri menerusi lagu tema rasmi “Tak Berlagu” menambah lagi dimensi emosi sebelum tayangan bermula.
Reaksi awal daripada penggiat industri, media dan tetamu jemputan selepas tayangan memperlihatkan sambutan yang amat memberangsangkan. Ramai memuji keberanian Khadam menggabungkan elemen seram, drama keluarga dan psikologi dalam sebuah naratif yang lebih matang. Kekuatan cerita, persembahan lakonan, rekaan bunyi serta keupayaan filem ini membina ketegangan tanpa bergantung kepada formula seram konvensional disebut sebagai antara kekuatan utama filem ini.
Sokongan pelbagai rakan jenama turut menyerlahkan skala penganjuran acara tersebut, termasuk Holiday Inn Kuala Lumpur Bangsar, St. Giles Boulevard Hotel Kuala Lumpur dan Hyatt House Hotel Kuala Lumpur sebagai rakan hospitaliti rasmi, selain Per’l sebagai penaja minuman. Barisan pelakon digayakan oleh Mimpikita dan Kita&Co bagi sesi Tayangan Media pada sebelah petang, sebelum malamnya mereka mengenakan rekaan eksklusif daripada Behati untuk Malam Tayangan Perdana.
Dengan kisah yang berakar dalam budaya Melayu, nilai produksi bertaraf antarabangsa dan tema tentang keluarga, kehilangan serta pengorbanan yang dekat dengan kehidupan manusia sejagat, Khadam muncul sebagai antara filem tempatan paling dinanti tahun ini. Khadam tampil sebagai sebuah karya yang membuktikan kematangan industri perfileman tempatan yang terus berkembang dan berevolusi, sekali gus mencerminkan tahap produksi yang semakin berani serta bercita-cita tinggi dalam landskap filem Malaysia hari ini.
Mulai 11 Jun 2026, penonton akhirnya berpeluang memasuki dunia Khadam di lebih 120 pawagam seluruh negara menerusi pengedaran oleh GSC Movies, dengan
Primeworks Studios sebagai rakan pemasaran bersama. Selepas tayangan di Malaysia, filem ini turut dijangka menemui penonton di pasaran serantau termasuk Singapura dan Indonesia.
Jika reaksi awal penonton menjadi petunjuk, ini adalah sebuah pengalaman sinematik yang wajar disaksikan sendiri. Kerana apabila lampu dewan kembali menyala, Khadam tidak sekadar berakhir di skrin, ia terus tinggal dalam fikiran, perlahan-lahan mengganggu apa yang kita percaya tentang cinta, keluarga dan pengorbanan.
Ikuti perkembangan terkini menerusi @khadamthemovie dan Primeworks Studios di TikTok, Threads, Instagram, Facebook dan YouTube.

