(SUKAN) 12 HOURS OF PAUL RICARD: KEDUDUKAN KE-10 KESELURUHAN, KE-5 DALAM KELAS GT3-AM DAN KE-3 KESELURUHAN KEDUDUKAN GT3-AM BUAT VIPER NIZA RACING TEAM

Spread the love

Di sebalik keadaan cuaca yang hampir sempurna sepanjang dua hari perlumbaan di litar Perancis sepanjang 5.822km itu, saingan 12 Hours of Paul Ricard tahun ini amat ditentukan oleh persiapan yang teliti, konsistensi, strategi pengisian bahan api dan hentian pit, serta dipengaruhi oleh rangkaian situasi Code 60 (keadaan kereta keselamatan) yang tidak dapat diramal.

Wakil Malaysia, Viper Niza Racing Team telah menguasai keempat-empat elemen tersebut dengan baik dan berada di landasan tepat untuk penamat podium dalam Kelas GT3-AM. Bagaimanapun, apa yang tidak boleh dirancang oleh pasukan adalah siri situasi Code 60 pada 90 minit terakhir perlumbaan, yang secara tidak langsung memberikan kelebihan kepada pihak lawan yang mengikut pengiraan asal sepatutnya perlu berhenti untuk mengisi bahan api.

Code 60 pertama diaktifkan ketika perlumbaan berbaki 1 jam 20 minit bagi mengeluarkan kereta yang tersangkut di litar; yang kedua pula pada 35 minit terakhir ekoran sebuah kereta terbakar; dan yang ketiga diaktifkan ketika berbaki tiga minit untuk mengalihkan serpihan di atas litar.

“Kami tidak menghadapi sebarang masalah sepanjang perlumbaan. Kami berada dalam kedudukan yang baik untuk terus memacu ke garisan penamat sementara tiga kereta lain perlu berhenti untuk mengisi minyak. Namun di bawah situasi Code 60, mereka dapat menjimatkan masa dan masuk ke pit untuk pengisian bahan api yang tidak dijadualkan. Kami cuma tidak bernasib baik dengan Code 60 pada satu jam terakhir, tetapi inilah perlumbaan ujian ketahanan (endurance) yang tidak boleh diramal, dan kami harus menerimanya,” kata Prinsipal Pasukan merangkap pemandu utama, Douglas Khoo.

Viper Niza Racing akhirnya melintasi garisan penamat di tempat ke-10 keseluruhan daripada 32 buah kereta, dengan melengkapkan sebanyak 303 pusingan sekali gus mengesahkan tempat ke-5 dalam Kelas GT3-AM.

Perlumbaan tersebut dimenangi oleh Hofor Racing yang melengkapkan 306 pusingan, diikuti oleh GetSpeed Team PCX Racing di tempat kedua dengan perbezaan 36 saat — di mana kedua-duanya memandu jentera Mercedes-AMG GT3 Evo — manakala Sainteloc Junior Team menduduki tempat ke-3 dengan jentera Audi R8 LMS GT3 Evo II.

“Kami datang ke Paul Ricard dengan harapan untuk meraih podium dalam Kelas GT3-AM, namun melihat kepada bagaimana keadaan malam itu berlaku sepanjang dua hari lepas, kami masih mampu membawa pulang mata kejuaraan yang berharga. Daripada kedudukan tempat pertama bersama dalam carta mata keseluruhan, kami kini berada di tempat ke-3 — masih dalam sasaran asal kami tahun ini, tetapi semuanya bergantung kepada konsistensi untuk menamatkan perlumbaan di kedudukan mata tertinggi bagi mengekalkan persaingan dengan baki dua perlumbaan lagi,” kata Khoo.

Keputusan ini meletakkan Hofor Racing menerajui kedudukan keseluruhan GT3-AM dengan 96 mata, diikuti oleh GetSpeed Team PCX Racing dengan 90 mata, dan Viper Niza Racing Team di tempat ketiga dengan 80 mata.

Bermula di petak ke-13 keseluruhan dan ke-7 dalam kelas GT3-AM di Paul Ricard, Viper Niza Racing memulakan separuh pertama perlumbaan 12 jam pada hari Sabtu melalui Dominic Ang, yang melakukan permulaan cemerlang untuk meletakkan pasukan di kedudukan ke-9 keseluruhan dalam tempoh 30 minit pertama perlumbaan. Menjelang 1 jam 20 minit, Ang berjaya mendaki sehingga kedudukan ke-6 keseluruhan sebelum masuk ke pit untuk pengisian bahan api dan pertukaran pemandu. Khoo menyertai semula perlumbaan di tempat ke-16 untuk slot pemanduan selama 90 minit sebelum menyerahkan tugas kepada pemandu ketiga, Melvin Moh. Moh mengambil masa satu jam lagi untuk naik ke kedudukan ke-13, dan seterusnya ke tempat ke-10 keseluruhan pada penghujung empat jam perlumbaan. Hari pertama perlumbaan selama enam jam itu berakhir dengan Viper Niza Racing berada di tempat ke-10 keseluruhan dan ke-6 dalam Kelas GT3-AM sebelum semua kereta dikembalikan ke parc ferme.

Moh memulakan baki enam jam perlumbaan terakhir pada hari kedua (Ahad), dan dengan pantas melonjak ke kedudukan ke-6 keseluruhan sebelum masuk untuk hentian bahan api. Beliau pernah berada di kedudukan tertinggi di tempat ke-3 semasa slot pemanduan 90 minitnya sebelum masuk ke pit untuk pertukaran pemandu. Khoo menyertai semula perlumbaan di tempat ke-8 dan pada penghujung slot satu jam pemanduannya, Ang kembali ke litar di kedudukan ke-16 sebelum mempamerkan kebangkitan ke tempat ke-8 semula.

Moh menjadi pemandu yang dipertanggungjawabkan untuk membawa jentera Mercedes-AMG GT3 EVO #65 milik Viper Niza Racing Team melintasi garisan penamat untuk menamatkan perlumbaan di tempat ke-10 keseluruhan dan ke-5 dalam Kelas GT3-AM.

Selepas Paul Ricard, Viper Niza Racing kini beralih fokus kepada saingan 12 Hours of Nurburgring yang dijadualkan berlangsung dari 3 hingga 5 Julai ini.

Viper Niza Racing disokong oleh Motul, IWC sebagai Jenama Jam Tangan Rasmi, Momentum Autoparts, dan SPARCO Italy.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *