Putrajaya, 31 Disember 2025 – Konsert Malam Hijrah Bergema anjuran TV AlHijrah berjaya menghimpunkan ribuan pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat dalam suasana tertib, tenang dan penuh penghayatan apabila elemen seni dan dakwah digabungkan sebagai medium menyampaikan mesej penghijrahan jiwa sempena sambutan ambang tahun baharu. Konsert Malam Hijrah Bergema turut diserikan lagi dengan kehadiran Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Marhamah Rosli. Antara tetamu kenamaan lain yang hadir memeriahkan program termasuk Timbalan Ketua Setiausaha (TKSUK) Jabatan Perdana Menteri (JPM), Ahli Lembaga Pengarah TV AlHijrah, serta barisan Ketua Agensi Hal Ehwal Agama, sekali gus mencerminkan sokongan pelbagai pihak terhadap usaha memperkasa seni dan dakwah.
Seawal bermulanya konsert, kawasan Putrajaya International Convention Centre (PICC) dipenuhi hadirin yang hadir bersama keluarga dan rakan-rakan, mencerminkan penerimaan masyarakat terhadap pendekatan hiburan Islamik yang bersifat mendidik, inklusif dan membina. Kehadiran pelbagai generasi dalam satu ruang yang sama turut memperlihatkan sokongan masyarakat terhadap pengisian seni berteraskan nilai dan adab.
Alunan nasyid, selawat serta lagu-lagu berteraskan ketuhanan dan kemanusiaan bergema menyentuh jiwa penonton, sekali gus mewujudkan suasana kebersamaan yang jarang dilihat dalam penganjuran konsert berskala besar, khususnya pada malam ambang tahun baharu yang lazimnya dikaitkan dengan hiburan bersifat konvensional.
Konsert Malam Hijrah Bergema menampilkan barisan artis jemputan seperti Rabbani, Raihan, UNIC, Lah Ahmad, Hijjaz, Mawi, Sufian Suhaimi, Mawi, Munsyid Muda (Simfoni, Rabithah, Fine, Aeydan, Onepath, Andika), di samping menampilkan penyanyi legenda Datuk Hattan, Dato’ Jamal Abdillah dan Dato’ Nash yang masing-masing menyampaikan karya berunsur dakwah dan kerohanian antaranya Pergi Tak Kembali, Intifada, Kasih Kekasih, Nurkasih, Pada Syurga Di Wajahmu, Mahligai Syahdu, Ghazal Untuk Rabiah, Kian dan banyak lagi. Setiap persembahan disusun rapi bagi membawa hadirin menyelami makna hijrah melalui lirik-lirik yang sarat mesej keinsafan, harapan dan ketundukan kepada Ilahi.
Kemuncak konsert menyaksikan para penonton bangkit bersama-sama mengalunkan selawat dan lagu-lagu bertemakan penghijrahan diri, mencipta detik simbolik menyambut tahun baharu dengan doa, muhasabah dan azam untuk menjadi insan yang lebih baik. Respon hangat penonton sepanjang konsert jelas memperlihatkan keberkesanan seni sebagai bahasa dakwah yang mampu menyentuh emosi serta menyatukan masyarakat.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris, penganjuran Konsert Malam Hijrah Bergema bukan sekadar sebuah acara hiburan, sebaliknya merupakan platform dakwah kontemporari yang relevan dengan keperluan masyarakat masa kini.
“Kami melihat seni sebagai bahasa masa hadapan dakwah. Apabila mesej Islam disampaikan dengan hikmah, kreativiti dan keindahan, ia bukan sahaja menyentuh hati, malah membina pemikiran serta menyatukan generasi. Inilah visi TV AlHijrah, memimpin perubahan melalui kandungan yang relevan, berjiwa dan berdaya saing,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa hijrah yang ingin diketengahkan bukan sekadar perubahan luaran, tetapi melibatkan hijrah jiwa, akhlak dan cara berfikir. Sambutan menggalakkan terhadap konsert ini membuktikan masyarakat bersedia menerima pendekatan dakwah yang segar, progresif dan berteraskan nilai.
Seiring dengan itu, TV AlHijrah melihat Konsert Malam Hijrah Bergema sebagai inisiatif jangka panjang dalam mendekati penonton melalui seni Islamik yang membina, dengan hasrat untuk menjadikannya sebagai acara tahunan dalam menyemarakkan pengisian rohani sempena ambang tahun baharu.
Rata-rata pengunjung yang ditemui menyifatkan Konsert Malam Hijrah Bergema sebagai pengalaman yang memberi ketenangan dan inspirasi, selain menawarkan alternatif bermakna untuk menyambut tahun baharu bersama keluarga dan komuniti dalam suasana yang beradab serta
mendamaikan.
Dari aspek penganjuran, konsert ini berjalan lancar dengan kawalan keselamatan yang teratur serta kerjasama erat pelbagai agensi dan sukarelawan yang bertugas sepanjang program.
Penganjuran Konsert Malam Hijrah Bergema turut mencerminkan komitmen penganjur dalam menyediakan alternatif hiburan patuh nilai Islam yang selamat dan sesuai untuk seisi keluarga.
Menutup tirai Konsert Malam Hijrah Bergema, pihak penganjur merakamkan penghargaan kepada semua artis jemputan, rakan strategik, agensi terlibat serta media yang sentiasa menyokong usaha memperkasa program dakwah melalui pendekatan seni. Program seumpama ini diharapkan dapat terus berkembang sebagai platform menyemarakkan mesej Islam yang rahmah, menyatukan masyarakat dan membina jiwa dari tahun ke tahun.

