BUKIT TAMBUN, PULAU PINANG, 9 MEI 2026 – Susulan kemasukan rasmi jenama ini ke pasaran Malaysia awal minggu ini, Peugeot Motocycles hari ini meraikan pembukaan besar-besaran Pusat Pengalaman (Experience Centre) utama pertamanya di Bukit Tambun, Pulau Pinang. Acara bersejarah ini, yang diadakan dengan kerjasama pengedar Chuan Keat Motor Trading Sdn. Bhd., telah diserikan dengan kehadiran YB TPr Goh Choon Aik, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, dan Laurent Lilti, CEO Peugeot Motocycle Groupe. Pembukaan ini menandakan kedai utama rasmi pertama bagi jenama dari Perancis tersebut di seluruh negara.
Majlis pembukaan tersebut turut diserikan dengan upacara khas bagi menghargai pelanggan terawal jenama ini. Di tengah-tengah kehangatan pelancaran tersebut, Peugeot Motocycles Malaysia secara rasmi merekodkan tempahan pertamanya untuk model XP400 GT skuter crossover premium berprestasi tinggi dan skuter sukan bandar Speedfight 4+. Walaupun pemilik perintis ini tidak akan menerima penghantaran serta-merta, komitmen awal mereka menunjukkan jangkaan pasaran yang kuat terhadap ketibaan jenama ini.
Dalam ucapannya, YB TPr Goh Choon Aik memuji kerjasama antara jenama warisan global dan peneraju industri tempatan. Beliau menekankan kepentingan penyelesaian mobiliti berkualiti tinggi dalam menyokong pembangunan bandar negeri serta menyediakan alternatif pengangkutan premium dan mampan kepada penduduk.
“Menyambut pelanggan pertama kami untuk XP400 GT dan Speedfight 4+ hari ini merupakan detik yang membanggakan bagi jenama ini,” kata Laurent Lilti, CEO Peugeot Motocycle Groupe. “Ia membuktikan bahawa penunggang di Malaysia telah lama menantikan alternatif premium dalam segmen skuter. Kesediaan pelanggan untuk memberikan komitmen terhadap model-model ini sebaik sahaja kami membuka pintu di Pulau Pinang adalah bukti kepada reputasi kecemerlangan jenama ini selama berabad-abad”.
Sokongan Komprehensif dan Tawaran Awal
Kedai utama Peugeot Motocycle Bukit Tambun Pulau Pinang yang dikendalikan oleh Chuan Keat Motor dilengkapi sepenuhnya dengan pusat servis khas, jabatan alat ganti yang komprehensif, aksesori, serta bahagian barangan berjenama (merchandise). Bagi meraikan pembukaan ini, Chuan Keat Motor menyediakan tiga model XP400 GT, Django, dan Speedfight 4+ untuk tunggang uji awam dan mengumumkan pakej eksklusif bagi 30 pelanggan terawal.
Tan Soon Wei, Pengurus Besar Aveta International, menyatakan: “Bagi memastikan pengalaman pemilikan yang lancar, rangkaian perkhidmatan mudah alih ‘Aveta Care on Wheels’ akan meliputi sepenuhnya pelanggan Peugeot Motocycles. Fokus kami kekal untuk menyokong Chuan Keat Motor dan pengedar kami pada masa hadapan dalam menyediakan perjalanan yang lancar daripada tempahan sehingga penghantaran akhir”.
Perancangan Akan Datang
Cawangan utama di Pulau Pinang ini merupakan yang pertama daripada sembilan (9) pengedar eksklusif yang dirancang untuk fasa pertama pelancaran. Susulan kejayaan pembukaan ini, Peugeot Motocycles dan Aveta International akan menumpukan fokus kepada pengembangan di Johor, Lembah Klang, Kedah, Melaka, Negeri Sembilan, dan Pahang, dengan pelancaran dijadualkan sepanjang bulan Jun dan suku ketiga tahun 2026. See less
