KUALA LUMPUR, 5 Oktober 2022 – Setelah kejayaan penganjuran siri jelajah konsert “Rossa 25th Shining Years Concert” di Jakarta, Bandung, Surabaya yang menyaksikan kehadiran lebih 15,000 penonton, kini Dato’ Sri Rossa telah tiba di Malaysia bagi mempromosikan siri Jelajah Konsert “Rossa 25th Shining Years Concert” dan merupakan Konsert Solo Pertama sejak pandemik 2020 yang akan berlangsung di Dewan Plenary, Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) pada 2 November 2022 ini. Turut diadakan penyerahan bantuan pendidikan ke Menara Gading kepada pelajar-pelajar yang tidak berkemampuan dalam kategori asnaf dan B40 yang telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Aizuddin Mohd Ghazali, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN) dan YBhg. Dato’ Sri Rossa sendiri di Hotel Royale Chulan Kuala Lumpur pada hari ini. Sumbangan berbentuk dana kewangan, komputer riba dan barangan keperluan yang diberikan ini adalah hasil dari jualan tiket Konsert Rossa 25 Tahun yang telah terjual sepanjang bulan September.
Konsert “Rossa 25th Shining Years Concert” di Malaysia ini akan dianjurkan dengan kerjasama INSPIRE PRODUCTION Indonesia, YAYASAN PRIHATIN NASIONAL (PRIHATIN), TICKET2U.COM, MYVITALAB dan KOPERASI PRIHATIN NASIONAL (KOPENA). Konsert ini diadakan sempena penglibatan Dato’ Sri Rossa selama 25 tahun dalam industri muzik dan kini sedang menjelajah ke beberapa kota besar di Indonesia termasuk di Kuala Lumpur, Malaysia. Sebahagian hasil jualan tiket yang dijual akan disalurkan ke Tabung Pendidikan Anak Bangsa (TAB) dan Tabung Kasih PRIHATIN bagi kegunaan dan manfaat pendidikan anak-anak Keluarga Malaysia.
Konsert Dato’ Sri Rossa di Malaysia akan melibatkan empat (4) Pengarah Muzik; Dandy Lasahido, Risyanda, Eka Gustiwana, Andi Rianto termasuk Magenta Orchestra bagi membawakan lebih dari 25 lagu hitsnya. “Rossa 25th Shining Years Concert” ini semakin mengukuhkan nama Rossa dalam sejarah industri muzik serantau, dan selalu menjadi trend setter artis Indonesia di Malaysia.
Menurut Dato Sri Rossa “Alhamdulillah aku bersyukur, akhirnya yang ditunggutunggu hampir tiba, sudah tidak sabar ingin ketemu dengan para fans di Malaysia. Setelah menahan rindu selama dua tahun akibat pandemik, senang banget rasanya sudah bisa konser offline lagi di KL.” kata Dato Sri Rossa kepada media Ketika Sidang Media secara online di Jakarta pada Selasa (09/9/2022).
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PRIHATIN, Dato’ Mohd Aizuddin yang sememang sinonim dengan penganjuran konsert berskala besar berkata, “Penganjuran Konsert Dato’ Sri Rossa ini akan meneruskan kerjasama strategik dengan saya dan PRIHATIN untuk tujuan kebajikan yang telah kami mulakan dan sama-sama berkolaborasi sejak tahun 2012 lagi bakal memanfaatkan pendidikan anak-anak Keluarga Malaysia yang kurang berkemampuan dan golongan B40 yang akan disalurkan kepada Tabung Tabung Pendidikan Anak Bangsa (TAB) dan Tabung Kasih PRIHATIN. Semua sedia maklum, PRIHATIN amat proaktif dalam menjalankan program-program bersifat kebajikan terutama dalam memperkasakan pendidikan negara ke aras yang lebih tinggi di persada dunia. Saya bersyukur kerana Dato’ Sri Rossa sentiasa prihatin dengan kebajikan di Malaysia dan sentiasa bekerjasama untuk penganjuran konsert yang bukan bersifat komersial sematamata tetapi dengan turut menekankan konsep ‘Berhibur Sambil Beramal’ dan beliau sendiri bersetuju untuk sama-sama mencari dana bagi tujuan pendidikan melalui jualan tiket seterusnya menyalurkan sebahagian hasil jualan ke tabung tersebut. Dalam masa sama, PRIHATIN turut berterima kasih kepada pihak korporat dan orang perseorangan yang membeli tiket korporat sekaligus memberi sumbangan kepada mereka yang memerlukan dalam bidang pendidikan.”
Pada sidang media ini juga turut diperkenalkan artis Malaysia, Hael Husaini akan turut membuat kemunculan sebagai penyanyi jemputan Malaysia dan bakal bergandingan dengan penyanyi terkenal Indonesia Dato’ Sri Rossa di Konsert Rossa ’25 Shining Years’ yang bakal berlangsung di Dewan Plenary KLCC pada 2 November ini.
Bagi peminat di Malaysia yang masih berminat untuk mendapatkan tiket. Jualan tiket bermula pada harga serendah RM258 sehingga RM3,000. Tiket Konsert ini boleh didapati secara online melalui laman sesawang ticket2u.com.my dan secara offline bagi jualan tiket amal dan korporat boleh ditempah menerusi RSVP di talian (0133886533 – Pn. Nelle).