Bermula 4 April ini, stesen Saluran Ceria Anda itu bakal menyiarkan sebuah drama bersiri Melayu urban berjudul Tanah Merah daripada penerbit tersohor, Kabir Bhatia setiap hari Khamis jam 8.30 malam di ntv7. Drama 13 episod itu membariskan pelakon muda berbakat, Aishah Hoo sebagai teraju utama serta barisan pelakon hebat lain seperti Wan Raja, Norman Hakim, Hakim Yazid, Nazeera Sardi, dan Zara Zya yang berkisar tentang misteri di sebalik sebuah tragedi dan cinta.
Hasil produksi Filmscape Sdn Bhd, penggambaran Tanah Merah yang diadakan di lokasi utamanya di Ayer Keroh Country Resort, Melaka diharapkan bakal menjadi sebuah lagi drama ikutan ramai penonton Malaysia yang tercari-cari drama yang sarat dengan elemen penyiasatan dan plot keberanian seorang wartawan gadis muda.
Sifat ingin tahu, ingin mencari keadilan dan kesahihan sesuatu fakta pastinya menjadi antara tugas penting buat seseorang yang bergelar wartawan untuk dikongsikan bersama. Di situlah bermulanya pencarian Johanna (Aishah Hoo) seorang wartawan muda dan berani tetapi terperangkap dengan batasan dan tekanan daripada editornya.
Namun semuanya berubah apabila Maryam (Nazeera Sardi) ingin mendapatkan pertolongan Johanna untuk menyiasat tentang misteri kematian ayahnya, Hassan (Mior Fareez) pada 10 tahun lalu di sebuah kawasan peranginan, Tanah Merah. Lebih tragis sejurus pertemuan itu Maryam dilaporkan menghilang dan dikhuatiri meninggal dunia dalam cara yang hampir sama dengan arwah ayahnya. Walaupun mendapat tentangan daripada editornya, Encik Roslan (Rahim Omar), Johanna tetap tekad untuk membongkar pembunuhan misteri di Tanah Merah dan siasatan itu bakal bermula dengan rentetan diari Maryam yang ditemuinya.
Misi baru Johanna tidak semudah yang disangkakan apabila kehadirannya di Tanah Merah mula kurang disenangi penduduk di situ. Tiada siapa yang tahu apakah yang sebenarnya terjadi dengan Hassan apatah lagi Maryam. Mulut mereka bagaikan terkunci ataupun memang tiada rahsia di sebaliknya. Namun itu sesuatu yang mustahil. Setiap tragedi pasti ada alasan disebaliknya. Semakin hari pelbagai perkara aneh dan tragedi ngeri berlaku. Malah satu per satu kes kematian dan pembunuhan mula terjadi dan menghantui kawasan peranginan tersebut. Tanah Merah yang kelihatan aman sebelum ini mula berubah sekelip mata. Setiap daripada mereka mempunyai sesuatu rahsia yang sukar diungkapkan dan Johanna akan terus bermain dengan pelbagai persoalan dan menanti saat segala yang tersirat itu dibongkarkannya sendiri.
Namun di dalam detik sukar itu jugalah Johanna dipertemukan dalam kisah cinta segi tiga bersama seorang jejaka tampan dan egoistik, Ibrahim (Wan Raja) yang berjaya menyentuh hatinya dan anak pemilik Tanah Merah, Shah Amran (Hakim Yazid) yang sangat mesra dan tahu mengambil hatinya. Apakah yang sebenarnya terjadi di dalam tragedi 10 tahun dahulu? Mengapakah kehadiran Johanna seolah-olah membangkitkan sesuatu yang terpendam? Mampukah segala misteri dibongkar dan siapakah bakal memiliki hati Johanna?
Karya penuh misteri Tanah Merah pastinya mempunyai cabaran yang besar kerana elemen-elemen kejutan amat penting dalam menyampaikan drama sebegini.
“Merealisasikan drama bersiri Tanah Merah memang sesuatu yang mencabar kerana bukan mudah untuk memastikan unsur-unsur misteri dan kejutan dapat digarap dengan baik. Oleh sebab itu pasukan kami banyak mengambil masa dalam penghasilan skrip bermutu dan mengembangkan kreativiti kami agar ia mampu memberikan impak yang diharapkan,” kata Kabir Bhatia.
Berita baik bagi mereka yang tidak sabar mengetahui kisah lanjut drama bersiri ini, Tanah Merah akan disiarkan secara perdana menerusi portal video no.1 Malaysia – Tonton – tujuh hari lebih awal pada 28 Mac 2013 (Khamis) sebelum siarannya di Saluran Ceria Anda.
Stesen ntv7 yang mengorak langkah baru tahun ini mensasarkan penontonnya yang mempunyai pemikiran urban dan global melalui arah tuju Modern Urban Progressive Adults atau ringkasannya MUPAS. Menerusi pendekatan baru ini, ntv7 pastinya menjanjikan kelainan melalui drama ini dengan jalan cerita berbeza, konsep misteri dan pelbagai kejutan menarik buat tatapan para penonton Tanah Merah.
Menurut Airin Zainul, Pengurus Besar Kumpulan ntv7 & 8TV, Tanah Merah merupakan drama bersiri Melayu berbeza kerana sentuhan dan garapan drama itu menepati kehendak stesen itu yang menjurus kepada penonton urban.
“Kehadiran drama bersiri Melayu urban tahun ini merupakan sebuah lagi bukti bahawa ntv7 menjurus kepada usaha kami dalam mensasarkan kelompok sasaran stesen ntv7 yang rata-ratanya inginkan kelainan dan pengalaman baru dalam mengangkat karya menarik seperti Tanah Merah yang penuh dengan kejutan,” kata Airin.
Selain itu, drama percaturan ntv7 ini juga bakal mengadakan rangka promosi sempena drama bersiri itu menerusi road show mini mereka yang dijadualkan bermula April nanti. Saksikan drama bersiri penyiasatan menarik Tanah Merah di ntv7 bermula 4 April, setiap hari Khamis jam 8.30 malam di ntv7 atau ikuti drama ini di dalam talian seawal 28 Mac ini menerusi portal video Tonton di www.tonton.com.my tertakluk kepada terma dan syarat.
Untuk maklumat lanjut mengenai rancangan ini, sila layari laman sesawang ntv7 di www.ntv7.com.my dan www.tonton.com.my atau ikuti perkembangan ntv7 melalui Facebook mahupun Twitter.