Seiring perkembangan teknologi yang lebih moden dan mudah, cara untuk menyampaikan dakwah secara berkesan perlulah mempunyai kepelbagaian dan pendekatan yang lebih mendekati jiwa agar dapat menarik minat masyarakat mendalami ajaran Islam terutamanya golongan muda. Penerimaan memberangsangkan yang diterima daripada para penonton bagi musim pertama penganjuran program realiti keagamaan TV3, Da’i, yang memartabatkan status pendakwah muda diteruskan lagi untuk musim kedua.
Setelah menjelajah ke lima buah universiti tempatan akhirnya lapan finalis telah terpilih untuk berjuang di medan pencarian pendakwah muda berkaliber dalam program realiti, Da’i musim ke-2 bermula 15 Ogos ini. Da’i musim ke-2 yang bakal bersiaran sebanyak 10 episod akan memperlihatkan kebolehan lapan finalis iaitu Mohd Annas bin Khamis, Nik Ahmad Farhan Bin Nik Muhamad, Ahmad Izzhar Bin Ahmad Nazri, Nurul Dayana Binti Mohd Zahari, Nurul Amirah binti Mohd Azmi, Mohd Elyas Bin Yusoff, Wan Dazrin Bin Wan Din, Ammar Bin Ismail bagi merebut gelaran Pendakwah Milenia dan peluang membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM50, 000!.
Rancangan Da’i musim ke-2 ini ditaja oleh Roselle White selaku penaja utama dan dimeriahkan oleh penaja bersama iaitu Harwany. Hadir di majlis pelancaran rancangan realiti agama ini ialah Encik Izham Omar (Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media MPB), Encik Azhar Md Yusoff (Pengarah Urusan Roselle White), Encik Teoh Chong Leng (Pengarah Jualan Harwany), Encik Harisyani Bin Haji Mohamad (Pakar Produk), Cik Sherina Nordin (Pengurus Besar Kumpulan, TV3 & TV9), Puan Dorothy Empam (Pengurus Besar Kumpulan, Kumpulan Perkhidmatan Pelanggan), Shukri Ibrahim (Produser Da’i musim ke-2) dan Encik Mezlan Hamat (Pengetua Sekolah Integrasi Masjid Darul Ehsan.
Majlis sidang media Da’i juga turut meraikan 30 kakitangan dan pelajar dari Sekolah Integrasi Masjid Darul Ehsan.
Episod pengenalan pada 15 Ogos ini akan memaparkan suasana dan gelagat peserta yang hadir ke sesi uji bakat dan juga bootcamp yang diadakan selama 3 hari 2 malam di Port Dickson. Kebolehan setiap peserta untuk menarik minat masyarakat dalam menyampaikan dakwah pula akan dinilai oleh dua juri tetap yang digalas oleh Ustaz Sharhan Shafie dan Ustaz Harryanto Rizal Rokman serta seorang lagi juri jemputan yang mewakili 70% markah keseluruhan manakala 30% lagi ditentukan oleh juri awam. Peserta akan turut mendapat bimbingan oleh Murabbi terkenal iaitu Ustaz Mohd Izhar dan Ustazah Asni Abu Mansor. Berlainan bagi musim kedua ini, program ini akan dihoskan oleh Datuk Rosyam Nor dan dibantu oleh Tajdid Hadhari dan Azam Al-Kankari iaitu pemenang tempat kedua dan ketiga bagi Da’i musim pertama.
Menurut Cik Sherina Nordin, Pengurus Besar Kumpulan, TV3 & TV9 “Sambutan menggalakkan telah diterima di setiap lokasi ujibakat pencarian Da’i musim ke-2 telah menunjukkan penganjuran program sebegini dilihat menepati sasaran untuk melahirkan golongan pendakwah muda yang memahami konsep dakwah secara moden yang boleh dipelbagaikan, relevan dan lebih mesra. Selain dapat melahirkan pendakwah muda yang mempunyai integriti tinggi dan berkebolehan, program ini dapat membentuk peribadi dan akhlak baik untuk golongan muda”.
Produk Roselle White, di bawah syarikat Al Faiz Industires Sdn Bhd Sementara itu, menurut Encik Azhar Md Yusoff, Pengarah Urusan Roselle White, “Penajaan ini menjadikan Al Faiz Industries Sdn Bhd, diatas nama produk Roselle White sebagai penaja utama bagi program pencarian pendakwah generasi muda ini. Penajaan bagi program berprestij ini merupakan inisiatif Roselle White bagi menggalakkan penganjuran program TV yang mampu memartabatkan program ilmiah serta membuka peluang kepada jenama Roselle White untuk lebih dikenali bukan sahaja sebagai salah satu produk halal yang terdapat di Malaysia malah seiring dengan matlamat untuk menaiktaraf produk berasaskan roselle. Disamping itu, misi Al Faiz ingin membawa penjenamaan syarikat tempatan ke satu tahap yang lebih tinggi dalam pasaran dalam dan luar negara.
Antara tugasan yang menanti mereka bagi musim kedua ini adalah mengimarahkan masjid, membimbing adik angkat di sekolah agama berasrama, sehari bersama saudara baru dan banyak lagi yang pastinya menguji keupayaan mereka untuk menjadi pendakwah yang disegani. Saksikan bagaimana lapan finalis pendakwah muda yang terpilih untuk mengharungi cabaran untuk bergelar Pendakwah Milenia setiap hari Jumaat, pada jam 9 malam.
Anda juga boleh menonton Da’i musim ke-2 melalui laman sesawang Tonton di www.tonton.com.my. Sila layari www.tv3.com.my/dai serta akaun Twitter rasmi Da’i iaitu @DaiTV3 dan Facebook/DaiPendakwahMilenia. Anda juga boleh mengetahui informasi lanjut dan terkini mengenai Da’i musim ke-2 di Facebook & Twitter TV3Malaysia.