SELANGOR, 9 JANUARI 2025 – Morbidelli, jenama motosikal unggul kini memperkenalkan model baharunya iaitu T1002VX di Malaysia melalui pengedarnya, MForce Bike Holdings Sdn. Bhd. Model ini telah dirasmikan bersempena dengan acara Top 68 Dealers’ Educational Tour Sales Campaign 2024 di Changsha, China pada 24 November 2024.
200 unit terawal akan dijual dengan harga istimewa iaitu RM48,888 (tidak termasuk cukai jalan dan insurans) kemudian akan berbalik kepada harga asal (RM53,888 tidak termasuk cukai jalan dan insurans). T1002VX kini boleh didapati di mana-mana pengedar sah MForce seluruh Malaysia.
Hadir dengan warna Hitam dan Putih, T1002VX dikuasakan oleh enjin 997cc V-berkembar, 4-lejang, penyejuk cecair yang menghasilkan kuasa setinggi 65 kW pada 7,500 rpm dan tork maksimum 89 Nm pada 5,250 rpm. Dengan ukuran lejang 75 mm dan nisbah mampatan 10.3:1, motosikal ini menawarkan penghantaran kuasa yang konsisten dan dinamik.
Sistem pelincirannya menggunakan takungan basah, memastikan operasi enjin yang lancar dan penyejukan yang efisien. Kuasa motosikal ini disokong oleh bateri 12V14Ah, yang memudahkan motosikal dihidupkan melalui penghidup elektrik.
Dari segi brek, sistem brek hadapan dilengkapi dengan cakera berkembar dan kaliper J.Juan empat piston, manakala brek belakang menggunakan cakera tunggal dengan kaliper J.Juan satu piston, memberikan kuasa pemberhentian yang responsif dan selamat. Sistem ABS dwi-saluran menambah kawalan yang lebih baik di pelbagai permukaan jalan.
Tayar hadapan bersaiz 120/70 R19 dan tayar belakang 170/60 R17, memberikan kestabilan dan cengkaman yang mantap. Dengan dimensi 2,313mm x 931mm x 1,475mm dan ketinggian tempat duduk 820mm, T1002VX sesuai untuk pelbagai jenis penunggang. Kapasiti tangki bahan api 20-liter pula menjadikannya ideal untuk perjalanan jauh tanpa perlu kerap mengisi minyak.
T1002VX turut dilengkapi dengan butang kecemasan (hazard button) untuk meningkatkan keselamatan semasa kecemasan dan handguard MBP, yang melindungi jari penunggang daripada serpihan jalan dan cuaca buruk.
Motosikal ini juga disediakan dengan fungsi Auto Cruise yang mampu memaksimumkan keselesaan perjalanan dengan mengekalkan kelajuan tetap secara automatik, menjadikan setiap tunggangan jarak jauh lebih santai dan efisien.
Dari segi suspensi, fork depan upside-down boleh laras dan monoshock belakang boleh laras memastikan tunggangan yang lancar dan selesa. Paparan meter TFT turut memaparkan maklumat penting seperti empat mod tunggangan dan sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS) dengan jelas.
Model ini juga menawarkan tiga ruang bagasi iaitu kotak atas (50 liter) dan dua kotak sisi (masing-masing 42 liter dan 36 liter) yang memberikan ruang simpanan yang mencukupi untuk ekspedisi jarak jauh. Port pengecasan USB Type-A dan Type-C yang akan membolehkan penunggang kekal berhubung menggunakan telefon pintar sepanjang perjalanan.
Kali ini, Morbidelli turut menerbitkan aplikasi khas bagi pengguna motosikalnya iaitu MBP Connect yang perlu disambungkan dengan internet untuk membolehkan pengguna mendapatkan akses kepada pelbagai ciri menarik seperti pendedahan penuh kepada maklumat motosikal (Motometric) seperti baki minyak, kelajuan motor, rekod penyelenggaraan motosikal, rekod servis yang lengkap dan peringatan untuk servis berkala. MBP Connect juga menyediakan fungsi navigasi serta rekod perjalanan motorsikal.
Selain itu, aplikasi ini juga menyediakan panduan lokasi bengkel terdekat, jadual penyelenggaraan serta tips penjagaan motosikal untuk memastikan prestasi motosikal sentiasa berada pada tahap terbaik. Aplikasi ini adalah rakan ideal untuk pemilik motosikal yang mahukan pengalaman yang lebih mudah dan menyeluruh ketika menunggang.
Dengan ciri-ciri premium dan reka bentuk yang teguh, Morbidelli T1002VX bersedia untuk merevolusi pengalaman motosikal trail, menawarkan gabungan sempurna kuasa, prestasi, dan teknologi mesra penunggang.
Bagi setiap pembelian T1002VX, para pembeli boleh menikmati jaminan waranti perbatuan tanpa had untuk tempoh dua tahun serta perkhidmatan pembelian alat ganti tulen atas talian oleh Morbidelli Malaysia.