(SEMASA) TERENGGANU INTERNATIONAL BIKE WEEK 2026 KEMBALI MERANCAKKAN PELANCONGAN DAN KOMUNITI PERMOTORAN ANTARABANGSA

Spread the love

KUALA LUMPUR, JUN 2026 – Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (Tourism Terengganu) bakal menganjurkan kembali acara permotoran dan pelancongan terbesar pantai timur, Terengganu International Bike Week 2026 (TIBW 2026) yang akan berlangsung dari 24 hingga 28 Jun 2026 bertempat di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu.

Penganjuran TIBW 2026 menjadi salah satu acara utama sempena usaha memperkukuhkan kedudukan Negeri Terengganu sebagai destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa, di samping menghimpunkan komuniti motosikal dari dalam dan luar negara menerusi platform pelancongan, budaya dan gaya hidup.

Acara ini dijangka menjadi antara himpunan komuniti permotoran terbesar di Malaysia dengan sasaran keseluruhan penyertaan seramai 15,000 peserta, merangkumi kira-kira 5,000 peserta berdaftar dan 10,000 peserta tidak berdaftar sepanjang tempoh program berlangsung.

Selain penyertaan tempatan, TIBW 2026 turut menerima penyertaan antarabangsa melibatkan komuniti motosikal dari beberapa negara termasuk Thailand dengan penyertaan sekitar 200 buah motosikal, Singapura sebanyak 40 buah motosikal, Indonesia, Brunei dan Amerika Syarikat. Penyertaan dari Jepun juga sedang dalam peringkat pengesahan.

Tourism Terengganu memaklumkan bahawa acara ini bukan sahaja memberi tumpuan kepada aktiviti permotoran, malah menjadi medium memperkenalkan warisan budaya, makanan tradisional dan produk pelancongan negeri kepada pengunjung dari seluruh dunia.

Sepanjang lima hari penganjuran, pelbagai aktiviti menarik telah disusun termasuk persembahan hiburan di pentas utama yang menampilkan artis terkenal tanah air seperti Dato’ Awie, Black Hanifah, Apex Tajudin dan Bito.

Turut diadakan ialah pengisian santapan rohani bersama pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus, selain pelbagai persembahan khas dan demonstrasi yang dijangka menjadi tarikan utama pengunjung.

Antara pengisian menarik termasuk persembahan kebudayaan tradisional Terengganu, persembahan War Dance, demonstrasi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta pertunjukan bot amfibia.

TIBW 2026 juga akan menampilkan pembaharuan program menerusi penganjuran Festival Coffee serta Survivor Village oleh ATM yang dijangka memberi pengalaman berbeza kepada pengunjung dan komuniti bikers.

Penganjuran acara ini dijangka mampu menarik kehadiran sehingga 90,000 pengunjung sepanjang tempoh berlangsung, sekali gus memberi impak positif kepada sektor pelancongan, perhotelan, makanan dan ekonomi setempat.

Selain itu, TIBW 2026 turut dilihat sebagai platform penting dalam mengukuhkan kedudukan Terengganu sebagai negeri pilihan untuk acara pelancongan dan permotoran berimpak tinggi di peringkat antarabangsa.

Acara ini juga menjadi sebahagian daripada inisiatif promosi berterusan sempena kempen pelancongan negeri dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk komuniti permotoran, agensi kerajaan dan rakan strategik industri pelancongan.

Orang ramai dijemput hadir memeriahkan Terengganu International Bike Week 2026 dan menikmati sendiri pengalaman unik gabungan budaya, permotoran, hiburan dan pelancongan dalam suasana penuh meriah di pesisir pantai timur.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (Tourism Terengganu) di Aras 1, Bangunan Marina, Duyong Marina & Resort, Pulau Duyong, Kuala Terengganu atau melayari laman sesawang rasmi Tourism Terengganu


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *