(SUKAN) Hafizh Syahrin Abdullah jentera FTR-Moto2

Spread the love

BAGI memastikan penampilan kali kedua Hafizh Syahrin Abdullah pada saingan Grand Prix Motosikal Malaysia menerusi tiket wild card bukan sekadar pelengkap saingan, pasukan Petronas Raceline Malaysia menerbangkan khas jentera sama yang ditunggangnya pada Kejuaraan Motosikal CEV Buckler di Sepanyol pada musim ini.

Hafizh yang menyertai kategori Moto2 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hujung minggu ini, akan menggunakan jentera FTR-Moto2 yang berjaya menduduki tempat keenam keseluruhan selepas enam pusingan pada musim pertamanya di Sepanyol.

Jentera itu nyata lebih pantas berbanding jentera Moriwaki yang membantunya menduduki tempat ke-20 daripada 38 pelumba pada musim lalu di Sepang.

Hafizh mengaku lebih yakin dengan jentera FTR kerana mampu memberikan catatan masa lebih baik untuknya pada penampilan kedua menerusi tiket wildcard.

“Berdasarkan ujian simulasi sebelum ini, data kami peroleh menunjukkan saya dapat melakukan catatan masa lebih pantas berbanding perlumbaan sebenar musim lalu.

“Dalam erti kata lain, jentera FTR ini lebih baik berbanding jentera Moriwaki. Lagipun saya sudah selesa menggunakan jentera ini di Sepanyol.

“Dengan keputusan memberangsangkan itu, saya serta pasukan meletakkan sasaran menamatkan perlumbaan Ahad ini di kelompok 15 pelumba terbaik,” katanya pada majlis memperkenalkan jenteranya itu semalam.

Hafizh tidak dapat menyembunyikan perasaan gementar apatah lagi beraksi di halaman sendiri namun semua itu mahu dilupakan dan kekal fokus sepenuhnya untuk perlumbaan Ahad ini.

“Walaupun litar Sepang dikatakan memberi kelebihan kepada saya, pelumba Moto2 sedia ada jauh lebih berpengalaman dan mempunyai kelebihan. Saya juga akan menggunakan sebaik-baiknya peluang ini untuk belajar sesuatu daripada mereka.”

kredit artikel : mymetro

kredit gambar : google

 


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *