Kuala Lumpur, 10 Disember 2024 – Filem tempatan yang dinanti-nantikan,REVERSI, arahan pengarah terkemuka Adrian Teh, akan menemui penonton Malaysia mulai 19 Disember 2024. Sebuah karya bergenre sci-fi yang menyentuh jiwa, REVERSI mengupas tema pengorbanan, keinsafan, dan peluang kedua, menjadikannya tontonan wajib bagi penutup tahun ini.
REVERSI menampilkan barisan pelakon hebat Malaysia, termasuk Beto Kusyairy, Shiqin Kamal, Vanidah Imran, Hasnul Rahmat, Azhan Rani, Zahiril Adzim dan Qi Razali. Gabungan pelakon mantap dan arahan sinematik Adrian Teh yang terkenal dengan karya-karya aksi berkualiti seperti PASKAL The Movie, WIRA dan MALBATT MISI BAKARA , menjadikan filem ini satu paradigma baru buat Adrian Teh.
Malam gala dan sidang media filem REVERSI berlangsung dengan penuh kemeriahan di GSC Mid Valley Megamall. Acara ini dimeriahkan dengan kehadiran barisan pelakon utama, termasuk pengarah filem Adrian Teh, serta para tetamu istimewa. Filem ini dibawakan oleh ACT 2 Pictures, Clover Films, GSC Cinemas dan K-Movie Entertainment, serta diedarkan oleh GSC Movies. Dalam usaha untuk memastikan kejayaannya, filem ini turut mendapat sokongan daripada rakan media strategik seperti Hot FM dan Kool 101 yang menjadi radio rasmi.
REVERSI mengisahkan seorang lelaki, Akid (Beto Kusyairy), yang diberikan kelebihan untuk merentas masa lalu, cuba melawan takdir demi menyelamatkan isteri dan anaknya, tetapi perjalanan ini tidak mudah. Dengan elemen masa yang menjadi nadi cerita, filem ini membawa penonton dalam sebuah perjalanan penuh emosi yang menguji cinta, pengorbanan, dan harapan.
Penonton dijemput untuk mengikuti laman sosial rasmi GSC Movies dan saluran YouTube GSCM Originals bagi mendapatkan maklumat terkini tentang REVERSI. Jangan lepaskan peluang menyaksikan kisah menyentuh jiwa di pawagam berhampiran mulai 19 Disember 2024!