Kesengsaraan rakyat Palestin yang diserang Israel terus mendapat perhatian rakyat Malaysia yang prihatin. Bertempat di tapak BazaarNita Rakyat di Jalan Medan Tuanku di ibu negara malam ahad lalu, satu majlis pelancaran Tabung Kemanusiaan Gaza diadakan.
Berkonsepkan konsert amal dan menggunakan tema ‘Pray For Gaza, Standup For Palestine’, beberapa artis turut tampil memeriahkan suasana dengan persembahan lagu-lagu ketuhanan untuk menarik kehadiran orang ramai bagi mengisi tabung kemanusiaan berkenaan.
Dianjurkan oleh Kelab UsahaNita Kuala Lumpur dengan kerjasama Koperasi Pegawai-Pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur Berhad, DBKL, Clixster Mobile Sdn Bhd, Pertubuhan Belia Waris Bersatu (Pewaris), Kelab Proton Wira Malaysia (PWC), Nisan Livina Club dan Andalas Bikes Cyndicate.
Menurut wakil penganjur yang juga Pengerusi Koperasi Pegawai-Pegawai DBKL, Yapri Kamaruzaman Kushairi, penganjuran konsert amal tersebut sama sekali bukan bertujuan untuk bersuka ria, sebaliknya untuk menarik kehadiran lebih ramai pengunjung sekaligus dapat mengutip dana yang lebih banyak untuk mengisi tabung kemanusiaan Gaza.
“Kami terpanggil di atas rasa kesedaran dan prihatin terhadap nasib rakyat Palestin yang menderita tanpa kesudahan. Justeru itu, kami mengambil inisiatif sempena di bulan yang mulia ini untuk mengutip sumbangan daripada orang ramai sekadar termampu untuk menyumbang kepada tabung kemanusiaan ini”.
Tambah beliau, selain pelancaran Tabung Kemanusiaan Gaza, majlis turut diadakan bagi memperingati mangsa tragedi pesawat MH17 dan MH370 yang meninggalkan kesan yang cukup mendalam ke atas setiap rakyat Malaysia.
Barisan artis yang mengambil bahagian dibawakan oleh Clixster Music Sdn Bhd. Antaranya, Aris Ariwatan, Baggio, Poe, Lulu dan Alam Buskers.
Walaupun dianjurkan secara kecil-kecilan dan dalam tempoh dua jam, konsert amal tersebut berjaya mengumpul dana sumbangan daripada orang ramai hampir 20 ribu ringgit.
Kutipan dibuat dengan bantuan penunggang-penunggang motosikal berkuasa besar yang berjalan di kawasan sekitar Jalan Medan Tuanku menemui orang ramai yang membeli-belah persiapan Aidilfitri.