(HIBURAN) Konsert Akhir BMB Cecah 5 Juta Penonton

Spread the love

Logo BMB akhirsmall

Tahniah diucapkan kepada Achey (Mohd.Nasir Hamzah), anak didik kepada Harun Salim Bachik yang baru sahaja dinobatkan sebagai Juara Bintang Mencari Bintang (BMB) pada malam Ahad (23 Jun) yang lepas. Lebih teruja, kemuncak BMB berjaya meraih jumlah penonton tertinggi sebanyak 3.8 juta (16.2 TVR) atau 54.4% syer penonton. (sumber: Nielsen Audience Measurement) Secara pukal, kadar tontonan keseluruhan BMB Akhir telah mencipta rekod dengan tontonan mencecah hampir 5 juta sepanjang siaran dari jam 9.00 – 12.00 tengah malam pada 23 Jun yang lepas.

Bukan sahaja di kaca televisyen, BMB juga mencipta fenomenanya menerusi laman web rasminya, www.tv3.com.my/bintang di mana tercatatnya hampir 256,000 page views. Kelainan yang dibawakan oleh laman web rasmi BMB ialah para peminat boleh menjadi sebahagian daripada program ini dengan adanya skala bintang yang membolehkan mereka mengundi persembahan anak didik. Lebih menarik, tontonan video telah mencecah hampir 560,000 termasuk tontonan video eksklusif di sebalik tabir menerusi komputer, telefon pintar dan tablet dimana sebanyak 400,000 tontonan video menyumbang kepada Live TV di www.tonton.com.my sepanjang BMB bersiaran.

Selepas hampir 3 bulan berentap di gelanggang BMB, Konsert Akhir BMB yang disiarkan secara langsung dari Stadium Malawati Shah Alam pada jam 9.00malam telah menyaksikan persaingan sengit antara Bocik (Afdlin Shauki), Achey (Harun Salim Bachik), Tapaw (Faizal Ismail) dan Titan (Sabri Yunus) dalam usaha merebut gelaran juara sekaligus membawa pulang hadiah wang tunai RM200,000.

Setiap finalis dikehendaki membuat 2 persembahan iaitu secara solo dan bergandingan dengan sifu masing-masing yang merangkumi 3 minit sketsa komedi dan 2 minit nyanyian. Tirai pembukaan konsert akhir BMB dimulakan dengan anak didik BMB yang sudah tersingkir iaitu Bowl, Ajo, Awok, Kelawak, Tocai, Gegau, XOXO dan Big Too yang mempersembahkan lagu tema Bintang Mencari Bintang serta lagu Goyang Inul (One Nation Emcees).

Sebelum mengetahui keputusan konsert akhir BMB, suasana dihangatkan lagi dengan penampilan istimewa daripada otai pelawak Negara iaitu Dato’ Jamali Shadat, Mat Sentol dan Hamid Gurkha yang bakal beraksi bersama barisan anak didik BMB menerusi sketsa komedi dan lagu Bunga Hati (M. Daud Kilau), Cincin Emas (A. Rahman Onn) dan Janda Ada Benda (Mat Sentol).

Menurut Cik Sherina Nordin, Pengurus Besar Kumpulan TV3 & TV9, “Pertama kali TV3 memperkenalkan Bintang Mencari Bintang (BMB) yang mencungkil bakat-bakat baru dalam sketsa komedi dan nyanyian, dimana mereka dibimbing oleh sifu-sifu yang berpengalaman seperti Senario, Sabri Yunus, Harun Salim Bachik, Raja Azura, Afdlin Shauki dan Faizal Ismail, kami teruja dengan sambutan positif yang diterima daripada kalangan penonton apabila rating BMB Akhir mencecah hampir 5 juta penonton sewaktu siaran. BMB bukan sahaja membuka peluang kepada sifu-sifu untuk mencari pelapis tetapi ia juga merupakan platform terbaik bagi anak-anak didik untuk menimba ilmu dan pengalaman serta menggilap bakat bagi meneruskan legasi sifu mereka.”

Penerbit Eksekutif Bintang Mencari Bintang, Muhamad Sufian Isa pula berkata, “Bagi pihak produksi, kami ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada keenam-enam sifu yang sangat komited dalam menggalas tanggungjawab mereka untuk membentuk anak didik sebagai seorang penghibur versatil. Bermula sebagai anak didik yang baru belajar, mereka telah mempamerkan persembahan yang kreatif dan mantap saban minggu. Syabas kepada kesemua anak didik yang dilahirkan menerusi BMB kerana anda semua telah berada di tahap profesional dan berupaya bersaing di dalam industri hiburan kelak.”

Bintang Mencari Bintang (15 episod) diterajui oleh Penerbit Eksekutif, Muhamad Sufian Isa dan bersiaran pada setiap hari Ahad jam 9.00 malam. Adibah Noor merupakan hos program manakala Fauziah Ahmad Daud dan A.R Badul bertindak sebagai juri tetap bagi BMB.

Konsert akhir BMB menyaksikan Achey dan sifunya, Harun Salim Bachik muncul sebagai juara dan membawa pulang hadiah berupa wang tunai sebanyak RM 200,000 dan trofi. Bocik dan sifu mereka, Afdlin Shauki pula diraikan sebagai naib johan dengan memenangi wang tunai RM 100,000 dan trofi.Titan dan sifu mereka, Sabri Yunus pula muncul sebagai pemenang tempat ketiga dengan RM60,000  dan trofi manakala Tapaw dan sifu Faizal Ismail pula terpaksa akur sebagai pemenang tempat keempat dengan hadiah wang tunai RM 30,000 dan trofi.

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang BMB, penonton boleh melayari laman sesawang rasmi BMB di www.tv3.com.my/bintang serta laman sosial Facebook & Twitter TV3Malaysia. Saksikan ulang tayang Konsert Akhir BMB di TV3 pada 28 Jun 2013 & 5 Julai 2013 jam 10.02 pagi – 11.30 pagi.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *