(HIBURAN) ‘Panahan halilintar’ Loudness, Search, Slank dan Rusty Blade di Kuala Lumpur!

Spread the love

IMG_2268

JANGAN mengaku anda peminat rock jika tidak mengenali empat band ini. Loudness dari Jepun, Search (Malaysia), Slank (Indonesia) dan Rusty Blade (Singapura) adalah band rock paling besar di negara masing-masing. Bagi peminat-peminat rock khususnya di Malaysia, ‘berdosa’ jika anda mengenepikan band-band ini dalam kamus band rock kegemaran anda! Pastinya sesuatu yang cukup mengujakan apabila empat band ini bergabung di atas satu pentas. Agaknya tiada siapa menjangka Loudness, Search, Rusty Blade dan Slank akan bergabung dalam satu konsert di Kuala Lumpur. Adakah ia angan-angan Mat Jenin semata-mata?

thundersmall

Apa yang pasti ia bukan angan-angan lagi kerana promoter konsert terkenal, Clockwork Events Malaysia bakal menjadikannya satu realiti apabila mereka akan berkongsi pentas dalam konsert Thunder In The East 2013 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 30 Jun depan mulai jam 4 petang.

Sebagaimana nama konsert ini, Thunder In The East juga adalah judul album kelima Loudness yang diterbitkan pada 1985 dan album pertama mereka bersama label Amerika Syarikat, Atco Records. Boleh dikatakan ia antara album Loudness paling berjaya

dengan lagu-lagu dikenali ramai seperti Heavy Chains, Crazy Nights, Run For Your Life dan Like Hell selain pernah menghuni carta Billboard 200 di kedudukan 74 selama 23 minggu.

Apa yang pasti, konsert gabungan empat band Asia ini menjanjikan kehebatan muzik heavy metal dan rock & roll era 80-an yang tidak pernah mati. Konsert Thunder In The East ini juga adalah kunjungan kedua Loudness ke Kuala Lumpur selepas pertama kali menghiburkan rockers negara ini pada Julai 2011 di KL Life Centre sempena World Tour King of Pain, sekali gus meraikan sambutan ulang tahun ke-30 penubuhan Loudness pada 1981.

Dalam konsert yang dihadiri lebih 3,000 peminat itu, vokalisnya, Minoru Niihara berkata, mereka gembira dengan sokongan ditunjukkan peminat rock di Malaysia.

IMG_2253

“Selama 30 tahun ditubuhkan dan sejak mula menyanyi bersama Loudness pada usia 21, pengalaman mendengar jeritan Kuala Lumpur membuat saya gembira kerana tidak pernah merasainya. Kami harap dapat kembali ke sini awal tahun depan,” kata vokalis yang kini mencecah usia 53 tahun.

Selain Niihara, Loudness turut dianggotai pengasasnya, Akira Takasaki selaku gitaris, Masayoshi Yamashita (bass) dan Masayuki Suzuki (dram). Suzuki menggantikan pemain dram asal mereka, Muneteka Higuchi yang meninggal dunia pada 30 November 2008 akibat kanser hati.

Apa yang pasti, Loudness menjanjikan persembahan yang lebih hebat dan ‘setlist’ yang lebih besar berbanding konsert mereka di sini dua tahun lalu bagi memuaskan hati peminat mereka di rantau ini khususnya Malaysia.

Dalam pada itu, pemilihan Search untuk berkongsi pentas dengan Loudness dilihat tepat dengan status mereka sebagai band rock nombor satu negara. Dengan line-up terbaik mereka iaitu Amy (vokal), Kid (gitar), Din (gitar), Nasir (bass) dan Yazit

(dram), Search yang boleh dikatakan ‘sezaman’ dengan Loudness tidak bermasalah untuk menawan Stadium Merdeka dengan lagu-lagu nostalgia 80-an mereka.

Dalam konsert ini, Search mahu bernostalgia dengan lagu-lagu era 80-an dan hanya membawakan lagu-lagu dari album kelima, Karisma yang diterbitkan pada 1990 ke bawah. Maksudnya, selain Karisma, Search hanya membawakan lagu-lagu dari album sulung, Cinta Buatan Malaysia dan album seterusnya iaitu Langit dan Bumi, Mentari Merah Di Ufuk Timur dan Fenomena yang diterbitkan dari tahun 1985 hingga 1989.

Apa yang menarik, dalam konsert Loudness di Kuala Lumpur dua tahun lalu, Amy turut dijemput berduet dengan Niihara dalam lagu Shadow Of War dan Let It Go.

 IMG_2276

Amy ketika ditemui di konsert berkenaan dipetik sebagai berkata, dia teruja apabila diberi peluang berduet bersama Niihara dalam konsert terbabit.

“Kami pernah bertemu di Singapura pada 1991 dan dia masih kenal saya hingga sekarang.Saya terharu kerana Loudness memberi penghormatan untuk bersama mereka di atas pentas dan sudah tentu pengalaman ini sukar dilupakan,” kata Amy ketika itu.

Menambah ‘panahan halilintar’ dalam konsert Thunder In The East 2013 ialah Slank yang diterbangkan khas dari Jakarta, Indonesia. Walaupun dalam kalangan sebahagian peminat di Malaysia nama Slank tidaklah segah band-band Indonesia lain yang lebih

‘radio friendly’ dan ‘ganteng’ tetapi di Indonesia, Slank adalah fenomena.

Berbanding tiga band lain, Slank yang dibarisi Kaka (vokal), Bimbim (dram), Abdee (gitar), Ridho (gitar) dan Ivanka (bass) adalah yang paling ‘junior’ kerana album sulung mereka Suit…Suit…He…He (Gadis Sexy) diterbitkan pada 1990. Namun, kini dengan 19 album studio serta jualan keseluruhan mencecah jutaan unit, mereka adalah ‘living legend’ di Indonesia.

Slank pernah mengungguli Anugerah BASF bagi kategori Album Paling Laris dari tahun 1991 hingga 1995 selain memenangi minimum satu anugerah dalam Anugerah Muzik Indonesia (AMI) mulai 1997 hingga 2004.

Setiap tahun, mereka akan melakukan konsert jelajah di 60 kota seluruh Indonesia. Setiap konsert pula dihadiri minimum 10,000 penonton dan ada yang mencecah sehingga 100,000! Dan, ia adalah konsert berbayar dan bukan percuma.

Slank pernah menghiburkan peminat di Malaysia dalam Konsert S2 bersama Wings dan Spider di Stadium Merdeka pada 2007 (mereka sepatutnya mengadakan konsert bersama Search tetapi Search menarik diri atas beberapa sebab tertentu) dan mendapat maklum balas amat positif.

Selain kegagalan mengadakan konsert bersama enam tahun lalu, ada cerita menarik membabitkan Slank dengan Search iaitu kebangkitan Slank pada awal 90-an dulu sebenarnya berpunca daripada Search.

Populariti Search dengan lagu Isabella hingga ‘menakluk’ Indonesia pada lewat 80-an dan awal 90-an mewujudkan gelombang baru dalam arena muzik mainstream di Indonesia.

Abdee dalam satu temubual pernah berkata, kehadiran Search ke Indonesia memberi banyak ruang kepada muzik rock untuk bertapak kukuh di Indonesia.  “Waktu itu band rock hampir tidak ada di arena muzik mainstream Indonesia. Kalau orang tahu pun cuma Godbless. Selainnya dipenuhi dengan penyanyi solo seperti Inka Christie, Broery Marantika, Hetty Koes Endang atau Tommy J Pisa. Indonesia lebih menerima muzik pop, jazz dan dangdut.

 “Search membuka mata produser album di Indonesia. Ketika itu semuanya mahu melahirkan band rock seperti Search, muzik seperti Search dan sebagainya. Slank yang ketika itu sudah pun wujud dengan rock n roll akhirnya tidak mempunyai masalah untuk mendapat kontrak rakaman. Akhirnya album sulung kami, Suit…Suit…He…He (Gadis Sexy) mendapat sambutan yang cukup hebat!

“Kami sebenarnya berterima kasih dengan band rock dari Malaysia terutamanya Search. Kerana merekalah muzik rock di Indonesia akhirnya berkembang hingga ke hari ini,” katanya.

Inti muzik rocknya berat dan padat, namun sentuhan seni daripada jiwa Melayu kekal melekat! Inilah dapat digambarkan mengenai Rusty Blade, band rock yang bermula di Holland Village, di tengah-tengah kota Singapura pada 1979 selain pernah dilabel sebagai ‘Iron Maiden of the East’.

Walaupun Singapura juga adalah tempat kelahiran band rock legenda Melayu, Sweet Charity serta band-band hebat lain seperti The Unwanted, Rockers dan Lovehunters, tetapi Rusty Blade berbeza kerana muzik mereka lebih berat selain persembahan yang cukup energetik!

Jika orang lain selesa dengan Deep Purple, Rolling Stones atau Scorpions, Rusty Blade lebih berpaksikan Black Sabbath, Judas Priest dan Iron Maiden yang lebih berat.

Walaupun berasal dari Singapura, Rusty Blade sebenarnya dianggap sebahagian daripada komuniti rockers di Malaysia pada waktu itu, seiring dengan nama-nama besar di Malaysia seperti Search, Wings, Lefthanded dan Bloodshed.

“Rusty Blade boleh dikatakan sebagai ‘anak angkat’ kepada arena muzik rock Malaysia waktu itu. Walaupun kami adalah rakyat Singapura, sebahagian lagu kami turut menceritakan mengenai sejarah Malaysia. Tidak ada sempadan dalam memperjuangkan muzik rock, terutama muzik rock Melayu,” kata pengasas dan pemain dram Rusty Blade, Zan dalam satu temubual sebelum ini.

Selain Zan, band ini dianggotai Yantzen (vokal), Khalid Mobin (gitar), Md Noor Hendrix (gitar) dan Man Karan (bass). Mereka memiliki empat album iaitu 786 Ikrar Perwira (1986); Rintangan Hidup Dunia (1987); Berat (1988) dan Awas (1989) yang mana kesemuanya memiliki kelebihan sendiri dari segi lagu dan gubahan muziknya.

Apa yang pasti, gabungan empat band legenda dari empat negara berbeza di atas satu pentas ini adalah berita yang amat dinanti-nantikan peminat rock tempatan.

Kekuatan dan kelebihan setiap band ini adalah faktor menjadikan konsert ini sebagai konsert yang wajib ditonton sebelum anda pergi tak kembali!

 thunder 1small

Loudness – Band heavy metal paling besar pernah ‘dieksport’ Jepun. Memberi pengaruh kepada banyak band-band rock Asia khususnya Malaysia untuk berjaya dalam muzik rock. Pernah membuat konsert di Kuala Lumpur pada Julai 2011.

Search – Band rock nombor satu Malaysia yang masih tiada pengganti di Malaysia. Menjadi pengaruh kepada hampir semua anak muda di Malaysia yang bercita-cita menubuhkan band sendiri.

thunder 2small

Slank – Band legenda di Indonesia. Sejak tampil dengan album pertama pada 1990, mereka terus ke hadapan dan diangkat sebagai band nombor satu Indonesia. Dengan jualan semua album mencecah jutaan unit, Slank turut berpeluang membuat persembahan di beberapa negara Asia Timur, Eropah dan Amerika Syarikat.

Rusty Blade – Band rock paling berbakat pernah lahir di Singapura. Menampilkan muzik rock yang lebih bertenaga dan berat berbanding band-band lain di Kota Singa.

Tiket

RM888 (VIP Platinum)

– Menonton dari ruang Rock Zone berhadapan pentas.

– Mengikuti bengkel gitar bersama Akira Takasaki di Bentley Music Auditorium, Kota

Damansara.

– Sesi ‘meet and greet’ bersama Loudness di Stadium Merdeka pada 30 Jun 2013 jam 12 tengah hari.

– Kemeja-T eksklusif percuma

– Poster percuma.

RM398 (VIP Gold)

– Menonton dari ruang Rock Zone di hadapan pentas.

– Sesi ‘meet and greet’ bersama Loudness di Stadium Merdeka pada 30 Jun 2013 jam 12

tengah hari.

– Kemeja-T eksklusif percuma

– Poster percuma.

 

RM258 (VIP Silver)

– Menonton dari ruang Rock Zone di hadapan pentas.

RM138 (Ticket Biasa)

– Hanya ticket biasa berdiri.

– Tiket bagi dua kategori ini hanya dicetak terhad iaitu tiket VIP Platinum sebanyak 400 keping manakala VIP Gold sebanyak 1,000 keping.

Bagi pembelian awal (early bird) bermula 18 Mei hingga 31 Mei ini, pembeli layak mendapat diskaun sebanyak 10 peratus untuk semua tiket.

Tiket boleh dibeli di www.ticketpro.com.my atau hubungi 03-78807999.

– Maklumat mengenai konsert di www.clockwork.my

Facebook

https://www.facebook.com/ClockworkCrewMalaysia;

https://www.facebook.com/ThunderInTheEast2013

Twitter@ThunderInEastMY; @clockwork_crew

Instagram@TITE2013

Emel : ThunderInTheEast2013@gmail.com.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *