(HIBURAN) ROSSA BAKAL MENGGEGARKAN AXIATA ARENA DENGAN KONSERT “HERE I AM”

Spread the love

KUALA LUMPUR, 12 Februari 2025 – Ratu Pop Indonesia, Dato’ Sri Rossa Roslaina, bersedia untuk menganjurkan konsert “Here I Am” di Axiata Arena Kuala Lumpur pada 14 Jun 2025, setelah sebelumnya berjaya mengadakan jelajah konsert di 3 buah negara selama 2 tahun berturut-turut iaitu “Rossa 25 Shining Years (2022)” dan “Another Journey : The Beginning (2023)” dengan kehadiran penonton melebihi 80 ribu orang.

“Konsert “Here I Am” yang dianjurkan oleh Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN) dan Inspire Production dengan kerjasama promosi dan pemasaran dari Sah Entertainment turut mendapat sokongan dari Maybank sebagai Rakan Strategik Perbankan untuk membawa sebuah persembahan yang luar biasa kepada pecinta Rossa di Kuala Lumpur, Malaysia.

“Konsert “Here I Am”  ini akan menampilkan sesuatu yang lebih segar, kreatif dan sangat berbeza daripada konsert-konsert saya sebelum ini kerana konsert ini juga melibatkan banyak kolaborasi, kejutan dan konsep yang saya yakin pasti buatkan semua teruja menontonnya,” kata Dato’ Sri Rossa.

Menurut Rossa lagi, nama “Here I Am” itu sendiri adalah refleksi dari perjalanan kerjaya beliau serta legasi yang telah dicapainya hingga kini. “Kenapa saya menamakan “Here I Am sebagai tajuk konsert saya pada kali ini?” Ini kerana bagi saya, nama “Here I Am” itu menggambarkan perjalanan kerjaya saya yang telah membawa saya sejauh ini, menjadikan siapa diri saya pada hari ini, berapa banyak album termasuk lagu hits dihasilkan, penghargaan serta anugerah yang diterima, termasuk konsert-konsert solo saya,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PRIHATIN, Dato’ Aizuddin yang sinonim dengan penganjuran konsert berskala besar berkata, “Penganjuran Konsert Dato’ Sri Rossa ini akan meneruskan kerjasama strategik dengan saya dan PRIHATIN untuk tujuan kebajikan yang telah kami mulakan dan sama-sama berkolaborasi sejak tahun 2012 lagi. Saya bersyukur kerana Dato’ Sri Rossa sentiasa prihatin dengan aktiviti kebajikan di Malaysia dan sentiasa bekerjasama untuk penganjuran konsert yang bukan bersifat komersial semata-mata. Rossa bersetuju untuk sama-sama mencari dana bagi tujuan pendidikan dan kebajikan melalui jualan tiket seterusnya menyalurkan sebahagian hasil jualan ke Tabung Kasih Prihatin. Dalam masa yang sama, PRIHATIN mengalu-alukan pihak korporat dan orang perseorangan untuk membeli tiket Royale, First Class dan Executive seterusnya memberi sumbangan kepada mereka yang memerlukan dalam bidang pendidikan melalui konsep “Berhibur Sambil Beramal”.

Untuk harga tiket konsert “Here I Am”, pihak penganjur telah menetapkan untuk menjual tiket dengan harga bermula dari harga RM228 untuk kategori Festival hingga RM788 bagi kategori Diamond Center tidak termasuk cukai dan yuran pentadbiran. Tiket boleh dibeli di platform www.ticket2u.com untuk pembelian secara online dan tiket korporat boleh berhubung terus dengan Puan Cik Rohaiza di talian 019-288 9764 atau mel rossa@yayasanprihatin.com

Peminat-peminat  Rossa  yang  juga  pemegang  kad  kredit  dan debit Mastercard dan Visa Maybank boleh dapatkan diskaun istimewa sebanyak 10% semasa hari pra-jualan tiket konsert “Here I Am” daripada jam 10 pagi, 14 Februari sehingga 10 pagi, 15 Februari 2025. Selanjutnya, untuk pembelian selepas hari pra-jualan tiket, diskaun 8% diberikan kepada pemegang kad kredit Maybank dan 5% untuk pemegang kad debit Maybank.

Sebagai maklumat tambahan, konsert “Here I Am” Rossa ini akan diadakan di 3 buah negara iaitu di Indonesia, Malaysia dan Singapura. Di Malaysia, konsert ini akan berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 14 Jun 2025, manakala di Singapura akan berlangsung pada penghujung tahun 2025.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *