(SEMASA) AIAC TERUS KEHADAPAN DENGAN TIMBANG TARA ISLAM

Spread the love

Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) melakar satu lagi sejarah hari ini sejak penubuhannya dengan pelancaran Kaedah-Kaedah Timbang Tara-i 2021 AIAC yang telah dirasmikan oleh YB Dato Sri Dr. Haji Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen and Undang-undang) di Bangunan Sulaiman, Kuala Lumpur.

Kaedah-Kaedah Timbang Tara-i 2021 AIAC adalah sebuah produk yang telah diberikan nafas baru selepas pertama kali dilancarkan empat belas tahun yang lalu dan seterusnya memberikan AIAC reputasi sebagai institusi timbang tara yang inovatif pada 2012 seperti yang dianugerahkan oleh “Global Arbitration Review (GAR)”. Kaedah-Kaedah Timbang     Tara-i 2021 dihasilkan untuk memenuhi komuniti perniagaan yang banyak bergantung kepada prinsip Syariah dalam urusan perniagaan seharian. AIAC yakin Kaedah-Kaedah Timbang Tara-i 2021 akan membantu pengguna di seluruh dunia membawa pendekatan bersepadu dalam penyelesaian pertikaian, dan memberikan keseimbangan dalam amalan konvensional perniagaan dan keperluan Syariah untuk transaksi tersebut.

Menurut Pengarah AIAC, Tan Sri Datuk Suriyadi bin Halim Omar, Kaedah-Kaedah Timbang Tara-i 2021 AIAC adalah kaedah-kaedah timbang tara yang pertama seumpamanya di dunia yang memenuhi model perniagaan yang spesifik. Kontrak komersial yang mempunyai elemen yang memerlukan keserasian dengan prinsip Syariah dan Islam kini boleh menggunakan Kaedah-Kaedah Timbang Tara-i 2021 AIAC sebagai mekanisme untuk penyelesaian pertikaian yang menurut prinsip Syariah dan Islam.

Yang Berhormat Menteri dalam ucapan perasmiannya menyatakan bahawa Kaedah-Kaedah Timbang Tara-i 2021 AIAC menjanjikan satu lagi inisiatif yang hebat untuk Malaysia dan beliau menyokong idea untuk Malaysia mebangunkan industri penyelesaian pertikaian alternatif selari dengan kemajuan industri kewangan Islam berdasarkan laporan kestabilan Industri Perkhidmatan Kewangan Islam (“IFSI”) 2021 yang menunjukkan jumlah asset sedunia IFSI meningkat sebanyak 10.7%, dari tahun ke tahun, dengan anggaran sebanyak USD 2.70 trillion setakat tahun 2020. Beliau menyambung bahawa berdasarkan Tinjauan Kewangan Islam 2021 daripada Penilaian Global S&P, rantau Asia Tengah, Afrika dan Asia Selatan terus menjadi penyumbang utama kepada industri kewangan Islam pada tahun 2020 dengan peningkatan sebanyak 11.4% daripada tahun 2019.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *