(SEMASA) BMW Malaysia Merungkai Dimensi Ketangkasan Baharu Menerusi BMW X3 sDrive20i.

Spread the love

BMW Malaysia pada hari ini telah merungkaikan BMW X3 sDrive20i – ahli baharu dalam portfolio Sports Activity Vehicle (SAV) premium bersaiz sederhana milik pengeluar kenderaan premium ini di pasaran Malaysia yang dipasang secara domestik.

Harald Hoelzl, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia menyatakan, “Sejak BMW X3 diperkenalkan pada tahun 2011, ia telah menjadi model yang menerajui pasaran tempatan dari segi jumlah penyerahan. Sedasawarsa sudah berlalu, dan kami berbesar hati untuk memastikan SAV berprestasi tinggi ini terus dibekalkan dalam pelbagai spesifikasi dan varian buat para pelanggan kami di Malaysia – dirumus untuk memenuhi pelbagai citarasa pengguna.”

“Pada tahun 2020 sahaja, BMW X3 telah menyaksikan lebih daripada 900 unit kenderaan berjaya diserahkan – meskipun industri automotif sedang mengalami kemelesetan ketika itu. Kejayaan ini memperkukuhkan kedudukan kami sebagai pengeluar kenderaan premium yang terkemuka, hadir dengan salah sebuah portfolio yang terbesar mencakupi kenderaan SAV yang dipasang di dalam negara. Kami juga berbangga untuk memperkenalkan BMW X3 sDrive20i yang baharu pada hari ini di samping BMW 330Li M Sport, kedua-duanya mempamerkan hasil kejuruteraan yang luar biasa untuk dijadikan penanda aras dinamisme berprestasi tinggi dalam segmennya,” tambah Hoelzl.

Varian ‘entry-level’ BMW X3 yang terbaharu bakal menawarkan kuasa pilihan dan kebebasan dalam tangan para pemilik di Malaysia untuk membawa pulang BMW X3 yang menepati citarasa mereka, kini turut lengkap dengan aplikasi My BMW App yang baharu untuk menaik taraf interaksi digital antara pemandu dan kenderaan. BMW X3 sDrive20i menjadi simbol keterujaan yang dapat dirasai oleh pengguna yang menaiki kenderaan ini.

Bersedia untuk Mengembara – BMW X3 sDrive20i Baharu.

BMW X3 sDrive20i mampu menyempurnakan segala bentuk pengembaraan dengan bahasa reka bentuk sporty serba baharu yang bersifat individualistik lagi lasak dengan sentuhan yang menawan.

SAV baharu yang dipasang di dalam negara ini hadir dengan gril ‘kidney’ radiator dan pakej xLine, digandingkan dengan lampu hadapan LED berserta Extended Contents yang meliputi lampu membelok. Set roda aloi ringan 19 inci dalam penggayaan Y-Spoke 694 dengan tayar ‘runflat’ juga menghiasi BMW X3 sDrive20i baharu. Perincian tubuh jentera ini diserlahkan dalam material aluminium, selain turut menampilkan BMW Individual Exterior Line dan rel bumbung menggunakan Aluminium Satinated.

BMW X3 sDrive20i diberi nafas oleh enjin petrol TwinPower Turbo empat silinder yang mampu menjana output maksimum berjumlah 184 kuasa kuda pada paras 5,000 – 6,500 rpm, serta puncak tork berjumlah 300 Nm pada paras 1,350 – 4,000 rpm. SAV baharu ini mampu membuat pecutan abad dalam masa 8.2 saat, dan merekodkan kelajuan tertinggi mencecah 215 km/j. Emisi karbon dihadkan pada paras lebih rendah dengan kadar 163 g/km, begitu juga dengan penggunaan bahan api yang lebih rendah, iaitu 7.1 liter bagi setiap jarak perjalanan berjumlah 100 km. Transmisi disediakan dalam bentuk 8-Speed Automatic Steptronic dengan Automatic Hold Function.

Di dalam, BMW X3 sDrive20i dilengkapi dengan kemasan trim interior dalam rona hitam berglos tinggi serta kemasan trim bersorotan dalam Pearl Chrome, turut hadir dengan cermin interior dan eksterior yang membawakan fungsi anti silau automatik.

Aspek keselesaan dalam SAV baharu ini dinaik taraf melalui kerusi sport bagi pemandu dan penumpang hadapan, termasuk hamparan lantai velor, pencahayaan ambien, serta sistem penyaman udara automatik tiga zon. Pemandu juga dapat menikmati kemudahan untuk melaras kerusi secara elektrik yang turut hadir dengan fungsi memori, manakala sistem HiFi dengan 12 pembesar suara menawarkan hiburan tanpa henti ketika memandu.

Dari segi bantuan digital, BMW X3 sDrive20i didatangkan dengan Bantuan Memandu serta Bantuan Parkir. Pengalaman navigasi dan maklumat hibur bertaraf premium pula ditawarkan melalui paparan kawalan 10.25 inci dengan fungsi sentuh, dipadankan dengan Panel Instrumen bermaterialkan Sensatec dan komponen kawalan dengan Galvanic Embellishers. Ciri-ciri kefungsian ini juga ditawarkan bersama BMW Live Cockpit Plus serta BMW Intelligent Personal Assistant.

Panggilan Kecemasan Pintar, dan fungsi panggilan yang serba mudah dengan sambungan telefon pintar turut menawarkan keselamatan dan kesenangan kepada pemilik BMW X3 sDrive20i baharu. Sementara itu, Comfort Access System memperkayakan lagi aspek kemudahan yang disediakan bagi BMW X3 sDrive20i, di samping Pakej Kompartmen Muatan yang melengkapi SAV baharu ini dengan kapasiti muatan mencecah 550 liter.

Para pemilik kini dapat menikmati interaksi digital dengan BMW X3 sDrive20i yang bertaraf lebih tinggi melalui aplikasi My BMW App yang baharu, ia menawarkan akses mudah ke atas pelbagai perkhidmatan berjarak jauh, navigasi, dan fungsi e-mobiliti. Aplikasi ini akan menggantikan BMW Connected menjelang Julai 2021, dan kini boleh dimuat turun di telefon pintar Android dan iOS.

Penawaran warna bagi jentera BMW X3 sDrive20i baharu merangkumi Alpine White, Glacier Silver, Black Sapphire, dan Phytonic Blue. Kesemua tawaran warna eksterior dipadankan dengan upholsteri Leather Vernasa berwarna hitam berserta dengan sulaman hitam.

BMW X3 sDrive20i baharu kini tersedia di semua pusat pengedaran BMW yang bertauliah di Semenanjung Malaysia, dan akan disediakan di Sabah dan Sarawak pada 20 April 2021. Para pelanggan juga boleh membuat pra-tempahan untuk memiliki BMW X3 sDrive20i baharu dengan bayaran RM 1,000 melalui platform BMW Shop Online di https://shop.bmw.com.my/.

Program pembiayaan dinamik.

Dengan ‘Balloon Financing Plan’ yang ditawarkan oleh BMW Group Financial Services Malaysia, BMW X3 sDrive20i baharu boleh dimiliki menerusi pelan ansuran bulanan yang bermula daripada RM 3,178.00 (berdasarkan anggaran pinjaman sebanyak 80% bagi tempoh lima tahun).

Pengalaman pemilikan premium yang menyeluruh.

Pemilik jentera BMW X3 sDrive20i baharu juga dapat merasai pengalaman Pemilikan Premium yang dijanjikan oleh BMW Group Malaysia, ia meliputi:

  • Waranti Tanpa Had Perbatuan Bertempoh 5 Tahun oleh BMW serta Program Servis Berjadual Percuma
  • Bantuan Tepi Jalan dan Hotline Kemalangan oleh BMW
  • Aplikasi Mudah Alih ‘BMW Group Loyalty+’ – BMW Privileges Card
  • Servis Dalam Talian BMW

Harga jualan bagi BMW X3 sDrive20i baharu dengan Waranti Lanjutan, Pakej Servis, dan Pengecualian Cukai Jualan dan Perkhidmatan (atas jalan, tanpa insurans) ialah:

 

BMW X3 sDrive20i Baharu                          RM 286,674.00


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *