(SEMASA) BMW Motorrad Malaysia Memperkenalkan BMW R 18 Terbaharu.

Kuala Lumpur, 9 Oktober 2020 – BMW Motorrad Malaysia telah memperkenalkan BMW R 18 terbaharu pada hari ini, yang membuat kemunculan dalam segmen kruiser dengan pengalaman tunggangannya yang luar biasa. Kruiser boxer berkapasiti besar yang baharu ini menggabungkan ciri-ciri ikonik dalam sejarah BMW Motorrad dan memodenkan tunggangannya dengan karakter megah yang unik.

“BMW Motorrad Malaysia mengotakan janji mereka untuk ‘Menjadikan Hidup Sebuah Pengembaraan’ sekali lagi ketika kita melangkah masuk ke dalam segmen kruiser dengan BMW R 18 First Edition terbaharu, yang diperkenalkan buat pertama kali sebagai Concept R 18 di acara Concorso d’Eleganza Villa d’Este. Kruiser konsep yang tulen ini telah memberi bayangan kepada dunia apa yang bakal hadir dalam segmen tersebut, dan kami ingin membekalkan kepuasan tunggangan yang sebenar dengan kruiser ini,” ujar Harald Hoelzl, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia.

BMW R 18 terbaharu merupakan kruiser BMW yang penuh dengan karakter. Kruiser ini meminjam beberapa elemen daripada model-model terkenal seperti BMW R 5 dari segi teknologi dan visual, mengalihkan fokus semula kepada ciri-ciri kefungsian yang asas pada motosikal ini: bersifat puris, hadir dengan teknologi yang serba ringkas, serta enjin boxer sebagai tunggak kepuasan setiap tunggangan.

Varian edisi pertama yang eksklusif ini menggandingkan iras BMW R 18 yang klasik dengan ciri-ciri kelengkapan eksklusif dalam warna cat serta krom. Boxer klasik berkapasiti besar ini menampilkan logo edisi pertama dengan gubahan jalur halus berlatarkan warna glos hitam – menyerlahkan lagi gaya dan sensasi yang tiada bandingannya. Pesona kruiser baharu ini turut disumbang oleh bar hendal, tuil penukar gear, pelitup hendal, pelitup kepala silinder, pelitup engkol, serta komponen salur masuk udara dalam material Krom. Hanya 18 unit BMW R 18 First Edition yang bakal disediakan di Malaysia.

BMW R 18 terbaharu merupakan interpretasi kruiser moden yang berpegang kepada tradisi BMW Motorrad. Ciri-ciri rekaan tubuh yang klasik pada kruiser ini bermaterialkan logam, serta menepati kriteria sebuah jentera kruiser yang tulen: tangki bahan api 16 liter dengan bentuk titis air yang berasal daripada BMW R 5, termasuk dapra (fender) hadapan dan belakang, panel sisi di bawah tempat duduk, selongsong serampang (fork) serta perumah lampu hadapan dan panel instrumen bulat yang kesemuanya diperbuat daripada bahan logam.

Kruiser mewah ini membekalkan elemen pencahayaan yang jelas dengan lampu hadapan LED penuh, serta lampu belakang LED dan lampu brek yang dirangkumkan dalam indikator belakang – semuanya mendemonstrasikan bagaimana teknologi pencahayaan yang tercanggih boleh diintegrasikan dengan sebaiknya pada reka bentuk motosikal klasik ini. Pelitup enjin ‘Pemesinan’ berkualiti tinggi yang diperbuat daripada aluminium kisar, dihasilkan melalui kolaborasi bersama Roland Sands Design, ia menampilkan kontras warna yang menarik antara hitam dan perak. BMW R 18 terbaharu juga membawakan elemen gubahan berjalur kembar dan berkrom.

Enjin boxer sesaran yang terbesar dibangunkan oleh BMW merupakan jantung kenderaan ini. Enjin boxer empat lejang, dua silinder yang diperbaharui tersebut hadir dengan aci sesondol berasaskan rantai yang terletak di atas komponen aci pacuan yang menggalas kapasiti bernilai 1,802 cc, ia mampu mencatat tork maksimum berjumlah 158 Nm pada paras 3000 rpm, dan kelajuan tertinggi mencecah 180 km/j. Juga dikenali sebagai “Big Boxer”, enjin boxer ini disejukkan melalui udara/minyak.

Kruiser baharu ini mengguna pakai bahan api berjumlah 5.6 liter bagi setiap jarak perjalanan berjumlah 100 km. Fungsi kawalan emisi disediakan melalui penukar katalitik tiga arah yang terlaras. Komponen alternator yang melengkapi BMW R 18 terbaharu hadir dalam bentuk generator magnet kekal yang dipasangkan dengan bateri bebas penyenggaraan berkapasiti 12 V/26 Ah.

Kuasa disalurkan kepada kruiser baharu ini melalui klac ringkai bercakera tunggal dengan transmisi 6 kelajuan dalam ruang transmisi yang berasingan. Aci pacuan sekunder bersalut nikel pula memberi tumpuan ke atas tork. Komponen suspensi yang utama melengkapi BMW R 18 terbaharu ialah bingkai tiub keluli dengan lingkaran berganda. Suspensi hadapan ditawarkan melalui serampang teleskopik klasik, berserta sarung serampang dan topang suspensi kantilever dengan redaman yang bergantung kepada pergerakan suspensi. Di belakang, terletaknya serampang berayun dengan unit penyerap kejutan sentral.

Brek cakera 300 mm berkembar dengan angkup tetap yang terdiri daripada empat piston juga ditawarkan sebagai standard bagi BMW R 18, berserta dengan brek cakera tunggal di belakang. Sistem Pembrekan Anti-Kunci Integral BMW Motorrad (separa integral) juga disediakan untuk mencegah tayar daripada terkunci ketika membrek dengan kuat. Kruiser baharu ini turut dilengkapi dengan Kawalan Stabiliti Automatik (ASC) untuk membekalkan taraf keselamatan yang tinggi ketika menunggang, serta menampilkan tiga mod tunggangan: Rock, Roll dan Rain. Di samping itu, BMW R 18 terbaharu juga dilengkapi dengan kawalan tork seretan (MSR) sebagai standard.

BMW R 18 terbaharu dipadankan dengan instrumen bulat yang direka khas dan paparan multifungsi. Instrumen rekaan membulat tersebut mempersembahkan paparan meter laju analog untuk membuahkan penampilan yang klasik. Seperti model-model BMW Motorrad yang lain, sistem Tunggangan Tanpa Kunci juga menggantikan pencucuh konvensional pada BMW R 18 yang terbaharu.

Kruiser ini turut hadir dengan gear mengundur dan pelitup pengisi bahan api yang boleh dikunci sebagai standard. Untuk memperibadikan lagi BMW R 18 ini, para pemilik juga mempunyai pilihan untuk menambah aksesori dengan aneka Original BMW Motorrad Accessories, sama ada untuk memperkayakan aspek muatan, reka bentuk, penampilan, serta ergonomik dan keselesaan jentera ini.

Unit pandu uji BMW R 18 First Edition bakal disediakan di bilik pameran BMW Motorrad Heritage yang terpilih, ia merangkumi Auto Bavaria Ara Damansara, Chear Motorrad Puchong dan El Chong Motor Sungai Jawi, serta unit kenderaan ini boleh dilihat di semua bilik pameran BMW Motorrad di seluruh negara.

Perkhidmatan Pembiayaan.

Dengan Pelan Pembiayaan daripada BMW Group Financial Services Malaysia, pemilikan BMW R 18 First Edition bermula daripada RM2,411.00 setiap bulan. Ia berdasarkan anggaran pinjaman sebanyak 80% bagi tempoh 5 tahun.

Para pemilik juga boleh menikmati manfaat-manfaat tambahan dengan rangkaian servis yang bertaraf tinggi seperti Inklusif Minyak Enjin Premium, Inklusif Servis dan Program Lanjutan Waranti oleh BMW Motorrad Malaysia. Maklumat lanjut mengenai program tersebut boleh didapati di https://www.bmwmotorrad.com.my/en/service/services/warranty.html.

Harga jualan (atas jalan, tanpa insurans, dan dengan Waranti Terbaharu Bertempoh 3 Tahun serta Program Bantuan Tepi Jalan Bertempoh 3 Tahun oleh BMW Motorrad Malaysia) BMW R 18 First Edition yang terbaharu ialah:

 

BMW R 18 First Edition Terbaharu:           RM 149,500.00

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *