Malaysia, 1 Julai 2026 – Pasukan Viper Niza Racing dari Malaysia bakal mencipta satu lagi sejarah apabila membuat penampilan sulung dalam perlumbaan 12 Jam Nürburgring yang berlangsung pada 3 hingga 5 Julai ini. Perlumbaan yang merupakan pusingan kedua terakhir Michelin 24H Series 2026 itu juga menandakan kali pertama siri berprestij tersebut diadakan di salah satu litar paling ikonik dan mencabar di dunia.
Dengan hanya berbaki dua pusingan sebelum musim berakhir, trio Viper Niza Racing yang dibarisi Douglas Khoo, Dominic Ang dan Melvin Moh menyasarkan keputusan cemerlang bagi meningkatkan kedudukan keseluruhan kejuaraan atau sekurang-kurangnya mempertahankan kedudukan semasa di tangga ketiga.
Ketika ini, Viper Niza Racing berada di kedudukan ketiga keseluruhan kategori GT3-AM dengan mengumpul 80 mata, di belakang GetSpeed Team PCX Racing (90 mata) dan pendahulu keseluruhan Hofor Racing (96 mata). Pasukan itu juga berkongsi kedudukan keenam keseluruhan dalam kategori GT3.
Lebih 45 jentera perlumbaan daripada pelbagai kategori akan bersaing di Nürburgring, termasuk 14 kereta GT3, dengan Viper Niza Racing mempertaruhkan jentera Mercedes-AMG GT3 EVO #65.
Ketua Pasukan merangkap pemandu utama, Douglas Khoo, mengakui cabaran di Nürburgring amat berbeza memandangkan ia merupakan pengalaman pertama buat seluruh pasukan.
“Ini merupakan kunjungan pertama kami ke Nürburgring. Berbeza dengan kebanyakan pasukan Eropah yang sudah mempunyai pengalaman di litar ini, kami banyak bergantung kepada dua hari sesi ujian sebelum perlumbaan bermula. Fokus utama kami adalah mengutip mata maksimum bagi meningkatkan peluang dalam perebutan kejuaraan keseluruhan.”
Beliau berkata, pasukan turut teruja beraksi di sebuah litar yang cukup terkenal dalam dunia sukan permotoran.
“Nürburgring mempunyai aura tersendiri. Kebanyakan orang mengenalinya melalui laluan Nordschleife sepanjang lebih 20 kilometer yang cukup mencabar. Namun, perlumbaan kali ini akan berlangsung di Litar Grand Prix sepanjang 5.148 kilometer. Seperti biasa, kami melakukan banyak persediaan menggunakan simulator dan akan memanfaatkan dua hari ujian sepenuhnya. Kami juga akan menyewa beberapa jentera GT4 untuk merasai pengalaman memandu di keseluruhan laluan Nürburgring.”
Perlumbaan 12 Jam Nürburgring akan menggunakan Litar Grand Prix Nürburgring yang mempunyai panjang 5.148 kilometer dengan 16 selekoh, berbeza daripada laluan legenda Nordschleife sepanjang 20.83 kilometer yang dikenali sebagai “Green Hell”, lengkap dengan lebih 73 selekoh rasmi.
Litar Grand Prix tersebut dibina pada tahun 1984 dan dinaik taraf mengikut piawaian keselamatan moden sebelum menjadi gelanggang kepada pelbagai kejohanan utama termasuk DTM, World Endurance Championship (WEC) serta Formula 1.
Litar itu terkenal dengan perubahan ketinggian yang ketara serta beberapa seksyen teknikal seperti Mercedes Arena, Haug Hook, Dunlop-Kehre, selain selekoh ikonik Michael Schumacher S yang merangkumi Selekoh 9 dan 10.
Mengulas prestasi semasa pasukan, Khoo berkata keputusan di Litar Paul Ricard, Perancis bulan lalu memberi motivasi tambahan untuk terus bersaing di kelompok hadapan.
“Sebelum perlumbaan di Paul Ricard, kami sebenarnya mendahului carta keseluruhan walaupun dengan kelebihan tipis. Kini sasaran kami adalah mengekalkan kedudukan tiga terbaik dan jika berpeluang, kembali mendaki carta. Itu masih selari dengan sasaran utama kami musim ini.”
Beliau turut mengimbas pencapaian musim lalu apabila pasukan menamatkan musim di tempat keempat kategori GT3-AM selepas terlepas satu daripada lima perlumbaan.
“Tahun lalu kami hanya ketinggalan 22 mata daripada kelompok hadapan. Musim ini kami lebih konsisten mengutip mata dan berharap momentum itu dapat diteruskan sehingga penghujung musim. Jika kami berjaya menaiki podium dalam dua perlumbaan terakhir, peluang untuk menamatkan musim dalam kelompok tiga terbaik amat cerah. Namun dalam perlumbaan endurance, apa sahaja boleh berlaku dan kami berharap situasi itu memihak kepada kami.”
Viper Niza Racing mendapat sokongan daripada Motul, IWC selaku Jenama Jam Rasmi, Momentum Autoparts serta SPARCO Italy sebagai rakan penaja utama pasukan.
