(HIBURAN) Bintang Mencari Bintang : Tiada Penyingkiran Di Separuh Akhir Ke-2

Spread the love

Kelima-lima anak didik mara ke separuh akhir ketiga setelah tiada penyingkiran pada minggu lalu

Program realiti Bintang Mencari Bintang melakukan kelainan apabila tidak ada penyingkiran berlaku di akhir program konsert separuh akhir kedua semalam. Sementara itu, anak didik Afdlin Shauki, Bochik mempamerkan persembahan bertenaga seterusnya memikat juri profesional, undian SMS dan juri awam dengan mendahului markah keseluruhan tertinggi 68 markah. Bersiaran secara langsung dari Studio Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam pada setiap hari Ahad jam 9.00 hingga 10.30 malam, BMB membariskan 6 Sifu yang bukan calang-calang orangnya dalam industri hiburan iaitu Afdlin Shauki, Harun Salim Bachik, Senario, Sabri Yunus, Raja Azura dan Faizal Ismail untuk mengetengahkan bakat baru dalam bidang sketsa komedi dan nyanyian.

Malam ini, para anak didik BMB perlu mempersembahkan sebuah sketsa komedi bebas selama 3 minit dan sebuah lagu selama 2 minit untuk meraih markah daripada juri profesional dan juri awam serta undian SMS daripada para penonton.

Bagi menghangatkan saingan separuh akhir kedua ini, anak didik kepada Sifu Sabri Yunus, Titan  membuka persembahan dengan sketsa komedi serta menyampaikan lagu berkonsepkan ’10 Budak Hitam’ manakala Tapaw (Faizal Ismail) tampil dengan sketsa komedi dan lagu ’Tanya Sama Itu Hud Hud’ dan ’Apokalips’ untuk persembahan mereka.

Seterusnya anak didik Bocik yang mendapat bimbingan dari Sifu Afdlin Shauki, mengambil alih pentas dengan sketsa dan lagu ’Inilah Nasib’. Selesai persembahan Bocik, satu-satunya peserta solo Achey (Harun Salim Bachik) pula menyusul dengan persembahan dan lagu ’One More Night’. Sebelum melabuhkan tirai pada konsert separuh akhir kedua, saksikan persembahan sketsa komedi dan lagu ’Raja Gelek’ dan ’Ankhen Khuli Hoya Hoban’ dari Bowl (Afdlin Shauki).

Sebelum pengumuman keputusan konsert, suasana dalam studio bakal diredakan dengan persembahan istimewa daripada juri jemputan yang menilai aspek nyanyian minggu ini iaitu Hazama menerusi lagu Aku Mau Dia.

Dalam program BMB, setiap Sifu akan mempunyai dua anak didik yang bertanding dalam Kumpulan A dan Kumpulan B. Anak didik akan bersaing selama 4 minggu dalam pusingan pertama mengikut kumpulan masing-masing. 3 anak didik yang mendapat markah terendah dari setiap kumpulan akan disingkirkan. 6 anak didik yang berjaya ke pusingan seterusnya kemudian akan berentap di pusingan kedua, separuh akhir dan konsert akhir untuk merangkul gelaran juara serta membawa pulang hadiah utama berupa wang tunai RM200,000.

Menurut Penerbit Eksekutif Bintang Mencari Bintang, Muhamad Sufian Isa, “Pada minggu ini sepatutnya terdapat satu penyingkiran seperti yang dijadualkan setiap konsert. Tapi tiada penyingkiran dibuat pada konsert separuh akhir kedua kerana semua anak didik mempunyai peluang yang sama rata untuk mara ke peringkat separuh akhir ketiga. Setelah berbincang dengan pihak juri, kami membuat keputusan untuk mengumpul markah setiap anak didik pada konsert separuh akhir kedua ini dan ketiga. Kemudian, tiga anak didik yang berjaya mengumpul markah tertinggi sahaja yang akan layak mara ke peringkat akhir. Di samping itu, ini juga merupakan peluang buat anak didik untuk menyerlahkan lagi bakat masing-masing dalam mengejar impian mereka. ”

Sepanjang 15 episod, BMB menampilkan Adibah Noor sebagai pengacara program. Selain itu, BMB turut menampilkan nama besar di dalam industri tanah air, ikon yang cukup berpengalaman dan sememangnya ‘otai’ di dalam bidang hiburan iaitu Fauziah Ahmad Daud dan A.R. Badul sebagai juri tetap untuk program ini.

Untuk musim pertama ini, format permarkahan dibahagikan kepada 3 bahagian iaitu 50% daripada juri profesional, 30% melalui undian SMS dan 20% daripada juri awam yang terdiri dari kalangan pelajar seni persembahan, wartawan, golongan semi-profesional dalam industri sketsa komedi dan nyanyian. Buat penonton dan peminat setia Bintang Mencari Bintang bolehlah menghantar undian SMS dengan menaip BMB <JARAK> Nama Kumpulan dan hantar ke 33399 atau undian secara pukal, BMB5 <JARAK> Nama Kumpulan dan hantar ke 33399. Undian SMS akan bermula jam 5.00 petang setiap hari Ahad dan akan ditutup selepas tamat persembahan konsert. Di samping itu, penonton turut boleh menilai persembahan anak didik BMB semasa persembahan konsert berlangsung menerusi ‘Skala Bintang’ yang boleh didapati di www.tv3.com.my/bintang. Kemudian gerakkan skala bintang untuk mengundi persembahan anak didik. Keputusan penilaian ‘Skala Bintang’ akan muncul di kaca televisyen semasa konsert BMB bersiaran secara langsung.

Sementara itu, penonton berpeluang untuk mengenali dengan lebih dekat kesemua anak didik BMB menerusi KOMIK BMB yang disiarkan selama 30 minit pada setiap hari Ahad jam 5.00 petang. Program yang dihoskan oleh pelakon Taiyuddin Bakar atau lebih mesra dengan panggilan Tai ini juga akan membawa penonton melihat gelagat anak didik serta perkara-perkara yang bakal terjadi ketika mereka menghadiri kelas latihan dan juga perkara-perkara yang berlaku semasa mereka membuat persiapan untuk berentap di pentas BMB. Selain itu, penonton juga boleh mengikuti perkembangan para anak didik BMB menerusi program 2 minit, BLOG BMB setiap hari Isnin hingga Jumaat jam 10.00 pagi dan 1.30 pagi.

Ikuti program BMB yang diterajui oleh Penerbit Eksekutif, Muhamad Sufian Isa pada setiap hari Ahad jam 9.00 hingga 10.30 malam. Untuk mendapatkan maklumat dan perkembangan terkini tentang BMB, penonton boleh melayari laman sesawang rasmi BMB di www.tv3.com.my/bintang serta laman sosial Facebook & Twitter TV3Malaysia. Pengguna laman sosial Twitter boleh menggunakan ‘hash tag’ (#BintangTV3) untuk menghangatkan lagi bahang BMB!


Spread the love

One comment on “(HIBURAN) Bintang Mencari Bintang : Tiada Penyingkiran Di Separuh Akhir Ke-2

  1. muhamad ramzie rafieq bin mohd halim says:

    bagi kumpulan tapaw buat yg terbaik

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *