KUALA LUMPUR – Industri perfileman tempatan bakal diserikan dengan kemunculan filem komedi-drama Libang Libu, yang akan mula ditayangkan di seluruh pawagam negara bermula 23 April ini.
Mengangkat naratif perpaduan dalam acuan yang santai dan ‘relatable’, filem ini tampil tepat pada masanya dengan gabungan pelakon hebat yang bukan sahaja berpengalaman, malah terdiri daripada nama-nama ‘award-winning’ tanah air.
Dalam landskap industri filem tempatan hari ini, penonton Malaysia sudah lama tidak disajikan dengan sebuah naskhah yang benar-benar memberi ruang untuk mereka berehat dan menikmati hiburan secara santai. Kebanyakan karya kebelakangan ini membawa tema yang lebih intens, menjadikan pengalaman menonton sesuatu yang memerlukan tumpuan dan emosi yang mendalam.
Libang Libu hadir mengisi kekosongan tersebut dengan sebuah filem yang kembali kepada asas dalam hiburan, membuat penonton ketawa, merasa rileks, dan menikmati momen tanpa perlu berfikir dalam.
Diterbitkan oleh Tangerine Films Sdn. Bhd. dan diarahkan oleh Bobby Husaini, Libang Libu membawa penonton menyelami kisah sebuah produksi filem bukan Melayu yang menjalankan penggambaran di sebuah kampung Melayu di Perak. Pertembungan budaya, agama dan gaya hidup menjadi nadi utama penceritaan, disulami dengan elemen komedi dan drama yang dekat dengan realiti masyarakat Malaysia.
Menampilkan barisan pelakon mantap seperti Amerul Affendi, Beto Kusyairy, Nabila Huda, Zahiril Adzim, Ozlynn Wati, Fikry Ibrahim, Sabri Yunus, Khir Rahman, Azhan Rani dan ramai lagi, filem ini turut diserikan dengan penampilan khas Datuk Yusof Haslam, Bront Palarae dan Nadiya Nisaa.
Menurut pengarahnya, Bobby Husaini, Libang Libu bukan sekadar hiburan semata-mata, tetapi sebuah naskhah yang membawa makna lebih besar.
“Apa yang membezakan Libang Libu dengan karya lain adalah keupayaannya menghidupkan semula pengalaman menonton yang santai tetapi bermakna, iaitu gelak tawa bersama di dalam panggung, dalam ‘mood’ yang rileks dikelilingi famili dan teman rapat. Ia bukan tentang mesej yang berat, tetapi tentang momen yang dikongsi.
“Dengan pendekatan yang santai dan penuh drama, Libang Libu membawa kembali jenis hiburan yang sudah lama dirindui oleh penonton Malaysia, hiburan yang mengajak mereka datang untuk ketawa. Selesai menonton, penonton boleh pulang dengan rasa ‘feel good’,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa pendekatan penceritaan filem ini sengaja dibina secara ‘ringan tetapi berlapis’, agar mesej perpaduan dapat disampaikan tanpa bersifat terlalu didaktik.
“Kami tidak mahu mengajar secara langsung, tetapi mahu penonton merasai sendiri dinamika hubungan antara watak-watak ini. Dalam gelak tawa itu, ada sindiran halus tentang realiti sosial kita,” tambahnya.
Dalam masa sama, Bobby mengakui cabaran terbesar adalah menyeimbangkan elemen komedi dan sensitiviti budaya.
“Apabila kita bercakap tentang perbezaan budaya dan agama, ia memerlukan penelitian yang sangat teliti. Kami banyak berbincang dengan pasukan dan pelakon supaya setiap adegan kekal autentik, jujur dan tidak menyinggung mana-mana pihak,” jelasnya lagi.
Sementara itu, wakil penerbit Tangerine Films Sdn. Bhd. menyifatkan Libang Libu sebagai sebuah projek yang lahir daripada kepercayaan terhadap kekuatan cerita tempatan.
“Kami percaya penonton hari ini mahukan kandungan yang dekat dengan kehidupan mereka. Libang Libu menawarkan itu, yang mana sebuah kisah Malaysia sebenar yang dipersembahkan dengan nilai produksi yang berkualiti dan barisan pelakon yang kredibel,” ujarnya.
Dengan durasi 1 jam 47 minit, Libang Libu menjanjikan pengalaman tontonan yang menghiburkan, sarat emosi serta penuh mesej tentang perpaduan, toleransi dan keindahan kepelbagaian budaya Malaysia.
Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan Libang Libu di pawagam berhampiran anda bermula 23 April ini, sebuah filem yang bukan sahaja mencuit hati, tetapi juga menyentuh jiwa.
SINOPSIS
Apabila sebuah produksi filem memilih sebuah kampung sebagai lokasi penggambaran, seluruh penduduk jadi kecoh, dari imam, ketua penanggah, bakal pengantin, hinggalah pelakon popular yang rupanya menyimpan konflik identiti sendiri.
Di sebalik kemeriahan itu, dua beradik, Alid seorang “abang long” kampung dan Man Pilem yang diburu hutang akibat ketagihan judi berdepan krisis besar apabila tanah pusaka arwah opah tergadai. Luka lama, rasa dikhianati dan ego memisahkan mereka, namun ancaman luar memaksa mereka bersatu demi maruah keluarga.
Dengan kepelbagaian karakter yang penuh warna – pengarah filem yang tegas, hero filem yang mahu jadi diri sendiri, orang kampung yang kuat adat dan cepat menghukum, kampung kecil itu menjadi pentas sebenar tentang penerimaan, kasih sayang dan erti keluarga.
LIBANG LIBU ialah drama komedi komersial yang menggabungkan konflik adik-beradik, pertembungan budaya dan humor satira dalam sebuah kisah yang lucu, emosional dan sangat dekat
