(SEMASA) KFC DAN PIZZA HUT BEKERJASAMA DENGAN BADAN BUKAN KERAJAAN (NGO) TEMPATAN MELALUI PROGRAM PENGAGIHAN DANA WORLD HUNGER RELIEF

Spread the love

Pic1

Kuala Lumpur, 8 Mei 2015 – KFC dan Pizza Hut Malaysia baru-baru ini telah memberikan sumbangan berjumlah RM400,000.00 kepada empat buah Badan Bukan Kerajaan (NGO) tempatan sebagai memenuhi sebahagian daripada inisiatif Program Pengagihan Dana World Hunger Relief (WHR) melalui kerjasama dengan agensi tempatan.

Persatuan Kebajikan HOPE Worldwide Kuala Lumpur, Pertiwi Soup Kitchen, Kechara Soup Kitchen Society, dan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM) merupakan antara badan-badan yang terpilih untuk menerima dana kempen WHR yang telah diperuntukkan bagi program usaha sama ini. Badan-badan ini masing-masing telah menerima sumbangan sebanyak RM100,000.00, dan akan menjalankan misi bersama-sama dengan program WHR KFC & Pizza Hut Malaysia bagi menghulurkan bantuan makanan kepada individu yang kurang bernasib baik di seluruh Malaysia.

“Kami amat berbesar hati kerana HOPE, Pertiwi, Kechara dan PBSMM sudi bekerjasama dengan pihak  kami dalam mendekati golongan miskin tegar dan gelandangan, dengan harapan untuk menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan,” kata Ahmad Taufek Omar, Ketua Pegawai Pemasaran Digital & Teknologi Maklumat, KFC Malaysia.

“Kami juga ingin mengambil kesempatan ini untuk sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada pelanggan-pelanggan KFC & Pizza Hut atas sumbangan mereka kepada tabung WHR ini. Melalui kemurahan hati yang ditunjukkan oleh pelanggan-pelanggan kami, KFC dan Pizza Hut mampu untuk mengumpul dana dan seterusnya menyalurkannya kepada individu-individu yang memerlukan di seluruh Malaysia,” tambah beliau.

Kempen WHR KFC dan Pizza Hut Malaysia telah berjaya mengumpul sejumlah RM2.6 juta pada tahun lepas. Inisiatif tahunan untuk membantu membasmi isu kebuluran di dunia ini telah berjaya mengumpulkan dana melalui kempen selama tiga bulan bermula pada Jun 2014. Kempen ini telah menyeru kepada pelanggan-pelanggan yang bermurah hati untuk menderma melalui tabung derma yang disediakan dan juga melalui pembelian set hidangan WHR di rangkaian restoran KFC dan Pizza Hut (set hidangan yang dijual di bawah promosi ini dikenakan caj tambahan RM0.50  yang kemudiannya disalurkan kepada tabung WHR).

Sebahagian daripada dana ini telah disalurkan kepada United Nations World Food Programme (WFP) manakala sebahagian besar pula disalurkan ke seluruh Malaysia.

Program Pengagihan Dana WHR yang telah dilancarkan pada tahun lepas juga dijangka akan semakin berkembang dengan penglibatan pelbagai NGO lain yang akan menjadi penggerak dalam usaha mengagihkan dana tersebut. Selain daripada NGO yang dinyatakan di atas, Program Pengagihan Dana WHR ini juga turut bekerjasama dengan Yayasan Orang Kurang Upaya Kelantan (YOKUK), Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Jabatan Pendidikan.

Program ini juga akan secara berterusan mencari keluarga dan individu yang memerlukan bantuan di seluruh Malaysia dengan menyediakan makanan, barangan keperluan dapur serta bantuan kewangan selama enam bulan dengan harapan supaya sumbangan ini dapat meringankan beban dan juga membuka peluang mereka untuk memperbaiki taraf kehidupan.

Program Pengagihan Dana ini dijangka dapat menyediakan hidangan makanan kepada lebih 300,000 individu di Malaysia.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *